بدأ الاسلام غريبا ، وسيعودغريبا كما بدأ ، فطوبى للغرباء
“Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti pada mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang terasing”
(H/R Imam Muslim,no.145)

Isnin, 10 Mac 2014

PEMBONGKARAN : PERANCANGAN BARAT MENGEKANG ISLAM - SINOPSIS

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له  ،  ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن 
: محمدا عبده ورسوله، أما بعد 

PENGANTAR
Didalam sejarah ketamadunan manusia, selama lebih lapan kurung (kurun ke-7 hingga kurun ke-15) Islam telah berkembang dari kota suci Madinah dan Mekkah ke seluruh pelusuk dunia, membawa bersamanya nikmat keamanan ke seluruh alam serta memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Adalah satu hakikat bahawa perpecahan ummat Islam dan kelemahan yang timbul akibat perpecahan itu, akan diambil kesempatan oleh para musuh yang berada dalam masyarakat Islam dan ketua-ketua mereka yang berpusat di Barat untuk melemahkan lagi Islam serta penganutnya. Maka didalam penulisan ini, bakal didedahkan fakta-fakta bahawa Barat akan dan telahpun menggunakan pelbagai strategi licik dalam memperdayakan pemikiran umat Islam, antaranya golongan Orentalis yang mengkaji agama dan budaya Islam secara mendalam untuk mencari kelemahan ummat Islam. Sesungguhnya, Barat jelas berhasrat menyekat "Kemunculan atau kebangkitan semula Islam" dan komited untuk menghalang -gerakan-gerakan Islam yang muncul semula dengan membawa nilai-nilai ketamadunan agar kegemilangan Islam kembali menakluki.

Barat merancang dan menanam fahaman-fahaman yang berlawanan dengan semangat dan roh Islami seperti fahaman Mu'tazilah dan Neo Mu'tazilah yang jelas sesuai dengan agenda Barat. Mereka (Barat) menggunakan isu-isu keperluan hak asasi kemanusian, keadilan dan kesamaan gender, liberalisme dan pluralisme agama sebagai senjata.

Melalui penulisan ini, akan dijelaskan siapakah "think tank" untuk merealisasikan perancangan dan agenda Barat itu, iaitu sebuah badan atau yayasan yang dikenali sebagai YAYASAN RAND CORPORATION. Yayasan ini juga menaja pelbagai badan-badan NGO yang kelihatan mewakili kesatuan ummat Islam setempat dan bertujuan diantaranya ialah menampilkan keburukkan para pemimpin Islam sendiri dengan menggambarkan ketidakmampuan para pemimpin ummat Islam dalam memimpin negara-negara sendiri, memporak-perandakan perkara berkaitan mazhab-mazhab, menakutkan dunia dengan istilah JIHAD dan sebagainya. Yayasan ini juga telah mengeluarkan beberapa kajian dan kertas-kerja untuk mengaktifkan agenda mereka itu. Diantaranya ialah :

1). "Menghadapi Keganasan Baru" - 1999 , 2 tahun sebelum peristiwa 11 September 2001.
2). "Dunia Islam Selepas 11 September" - 2004.
3). "Islam Sivil Demokrasi : Sekutu, Perolehan Dan Strategi" - 2005.
4). "Apa Selepas Al-Qaeda" - 2006.
5). "Pembentukan Rangkaian Umat Islam Sederhana (Moderate) " - 2007.

Namun didalam pembongkaran ini, kita hanya menumpukan perkara atau agenda dari laporan yayasan tersebut iaitu dari "Pembentukan Rangkaian Umat Islam Sederhana (Moderate)". Ini kerana jika dilihat dalam masa terdekat ini, perancangan para pemikir dan pelaksana kerja IBLIS Laknatullah ini telah berjaya dalam dunia Islam sekarang. Penulis hanya menggunakan fakta dan bukti ini melalui sebuah risalah yang kecil, namun bermakna iaitu dari seorang yang bernama Dr.Basem Khafaji.

Akhir sekali, penulis berharap ia akan menjelaskan kepada kita agar semua dapat mengenali siapakah mereka itu (musuh-musuh), agen-agen mereka didalam dunia Islam, demi mengembalikan kegemilangan serta ketamadunan Islam. Dan juga penulisan ini bukanlah untuk menghina atau mengajak sesiapa pun untuk membenci atau memusuhi Amerika dan para sekutunya, mahupun dikalangan aliran-aliran didalam Islam yang lain.

Insya Allah.

......................................................

PENGENALAN
Beberapa buah yayasan pemikiran yang dikendalikan oleh Amerika, sentiasa memfokuskan perhatian kepada negara-negera Timur Tengah. Tujuannya ialah mengemukakan saranan dan rancangan kepada pentadbiran Amerika supaya mensasarkan "serangan pemikiran" terhadapa dunia Islam khususnya. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa yayasan yang menimbulkan dua aliran pemikiran. Walaupun berbeza kedua-dua aliran pemikiran ini dari segi teknik dan taktiknya, namun tujuannya adalah sama iaitu melemahkan penyatuan serta melancarkan dan menimbulkan kekacauan dan penentangan diantara aliran-aliran pemikiran didalam ummat Islam. 

Aliran Pertama : Yayasan Carnagie Dan Yayasan Brookings.
Yayaasn-yayasan tersebut berpendapat bahawa sesetengah kumpulan Islam yang sederhana, boleh digabungkan dalam prasarana hukum Islam, agar boleh bertindak mempengaruhi Dunia Islam dan Arab. Bersetuju sepenuhnya dengan konsep permainan demokrasi. Sanggup menerima risiko-risikonya dalam berinteraksi dengan Dunia Islam dan Arab.

Aliran Kedua : Yayasan RAND.
Satu yayasan yang paling berpengaruh dan dikenali sebagai sebuah pusat pemikiran agensi terbesar didunia. Yayasan inilah yang membuka satu aliran pemikiran dan menerbitkan sebuah laporan yang berjudul "Pembentukan Rangkaian Umat Islam Sederhana (moderate)" , Mac 2007. - akan disebutkan sebagai Laporan RAND. Yayasan ini juga adalah sebuah yayasan paling berpengaruh didalam menggubal polisi negara Amerika dalam menangani hal-hal yang berkaitan dengan dunia Islam khususnya rantau Timur Tengah. 

Hasil dari Laporan Rand, sebelum dan selepas peristiwa 11 September 2001 :

a - Ancaman Islam perlu didepani melalui pendekatan menyempitkan skop pertubuhan-pertubuhan amal Islam dan hendaklah dilabelkan atau dikaitkan dengan keganasan dan ekstrimise.

b - Memberikan sokongan dan bantuan supaya terbentuk atau pertubuhan yang menampilkan aliran sekular, liberal dan modern dalam dunia Islam.

c - Mengelabui dan memainkan istilah "Kesederhanaan" dalam pemikiran ummat Islam, dengan ciri-ciri tersebut perlulah mengikut kefahaman Amerika (Barat), bukannya kefahaman Islam.  

Laporan tersebut seterusnya membentangkan beberapa idea dan huraian terpenting dalam setiap fasal-fasal dalam usaha Amerika berinteraksi dengan dunia Islam. Pada akhir Laporan Rand didalam "Pembentukan Rangkaian Umat Islam Sederhana (Moderate)" tersebut, mereka mengemukakan saranan dan kaedah dalam menjalankan "tipu-daya" mereka itu.

Sebelum dibentangkan pembongkaran kandungan Laporan Rand tersebut, adalah penting untuk ditinjau sepintas lalu beberapa laporan terdahulu yang pernah dikeluarkan oleh yayasan ini. Adalah perlu diteliti hubungkait idea dan saranan yang diutarakannya dengan polisi-polisi umum, yang menjadi pegangan Amerika Syarikat yang kemudiannya "dipaksakan" ke atas Dunia Islam dan khususnya di Timur Tengah.

......................................................

LAPORAN YAYASAN RAND CORPORATION
Yayasan Rand amat mengambil berat isu yang dinamakan dengan “bahaya Islam” sejak beberapa tahun ini. Banyak kajian yang telah diterbitkan daripada yayasan itu , namun didalam penulisan ini kita fokuskan perkara-perkara yang penting sahaja yang mana ia menjadi polisi dan mempengaruhi pentadibran Amerika Syarikat.

"Yayasan RAND merupakan sebuah pusat pemikiran terbesar di dunia dan dianggap berpengaruh serta mendominasikan polisi pentadbiran Amerika Syarikat. Berpusat di wilayah Carlifornia, Amerika Syarikat. RAND adalah singkatan kepada dua perkataan yang bermaksud penyelidikan dan pembangunan (Research and Development). Ia berperanan mengumpulkan maklumat,menganalisis, dan menyediakan laporan serta kajian sebanyak mungkin kepada isu-isu keselamatanAmerika dan rakyatnya di dalam dan diluar negara. Seramai lebih kurang 1600 orang pakar termasuk penyelidik serta pegawai yang mana sebahagian mereka adalah dari pemegang ijazah kelas tinggi didalam yayasan ini. Sebanyak 100-150 juta USD setahun diperuntukkan untuk yayasan ini. Yayasan RAND berperanan menyokong aliran radikal didalam Kementerian Pertahanan Amerika, manakala kementerian pula  banyak menyalurkan bantuan dan sokongan terhadap projek-projek yayasan ini.  Yayasan ini mempunyai pertalian dan perhubungan dengan Agensi Perisikan Antarbangsa (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dari sudut kerja dan pemyelidikan. Banyak hasil dan kajian penyelidikan daripada yayasan ini digunakan untuk menghadapi Islam dan ummatnya. Yayasan RAND ini juga turut memberi sumbangan rasmi dalam merancang peperangan menentang keganasan. Ia mencadangkan kepada Kementerian Pertahanan supaya mengenakan tindakan kepada kerajaan Arab Saudi dengan mengangapnya sebagai musuh pertama dunia. Cawangan RAND dirantau Arab dianggap sebagai markas terpenting, yang berperanan mengembalikan rupa bentuk rantau Arab sejajar dengan pandangan dan acuan pentadbiran Amerika Syarikat. Seorang penyelidik wanita dari cawangan yayasan ini di Qatar, Cheryl Benard (isteri kepada Zalmai Khalil Zadah, arkitek peperangan di Afghanistan) telah menulis tentang Projek Islam Demokrasi, yang mana tulisan kajiannya itu dikenali dengan nama Laporan RAND " .


TAHUN 1999
Sebelum peristiwa 11 September 2001 yayasan tersebut telah menerbitkan hasil kajian/laporan dan dibukukan yang berjudul “Menghadapi Keganasan Baru”. Buku setebal 153 halaman itu disusun oleh sekumpulan pakar yang mewakili akademik, pemikiran, strategi dan kepolitikan , yang berkaitan dengan keganasan dari kalangan rakyat Amerika Syarikat. Buku tersebut cuba menjelaskan persoalan tentang apakah keganasan baru yang menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat dan sekutu, khususnya Zionis. Dan jika diperhatikan atau dinilai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi semasa dan sebelum itu, mereka mengambil perhatian dan pengalaman untuk membendung keganasan yang akan berlaku atas dasar "Keamanan Sejagat". Tumpuan diberikan di rantau Timur Tengah. Diantara pakar-pakar yang terbabit menyediakan laporan/kajian itu ialah :
1). Bruce Hofman
2). Iyan Laser.
3). David Ronefelt
4). Joh Orquila
5). Micheal Zanini.
6). Buck Revio ( Pusat pemikiran Cambridge menyebutkan beliau antara yang terbabit juga)


TAHUN 2004
Selepas 3 tahun peristiwa 11 September yayasan itu telah menerbitkan pula satu kajian/laporan yang berjudul “Dunia Islam Selepas 11 September” setebal 500 halaman. Buku tersebut membahaskan dua bab terpenting dan bertujuan mendapatkan reaksi keagamaan serta membekalkan kepada penggubal polisi di Amerika, dan hala tuju yang sedang berlaku didalam Dunia Islam. Didalam buku itu juga, melalui kajian yayasan itu disebutkan pembahagian kategori didalam Dunia Islam dengan keras sekali (walhal tidak benar). Sebagai contohnya sesetengah rantau Islam dilabelkan dengan fahama Salafi, manakala yang lain dilabelkan sebagai radikal dan yang seterusnya dilabelkan sebagai sederhana. Seorang penyelidik ilmu kepolitikan yang terlibat, Syerin Fahmi menyebutkan di bahagian awalnya :

“..Bahawa orang-orang Islam tidak berselisih dalam soal keagamaan namun yang menjadi perselisihan dikalangan mereka ialah dalam soal kepolitikan, kemasyarakatan dari segi aspek kerajaan, perundangan, hak kemanusian, hak kewanitaan dan pendidikan..” 

“ ..Melalui Laporan RAND ini, akan mewujudkan dan menjadikan adanya persamaan antara aliran Islam Sederhana (moderate) dengan fahaman sekular.” 


Didalam bab keduanya pula , disebutkan perihal perselisihan yang berlaku diantara sesama ummat Islam. Sepertimana fokus mereka ditujukan dengan isu perbalahan pokok, Sunni dengan Syiah, dan Arab dengan bukan Arab.


TAHUN 2005
Yayasan itu menerbitkan lagi satu kajian/laporan yang berjudul “Islam Sivil Demokrasi : Sekutu, Perolehan Dan Strategi”. Ini hasil dari seorang wanita yang bernama Cheryl Benard, seorang yang mempunyai pandangan dan sikap negatif ke atas Islam. Mengikut salah satu didalam laporan tersebut, salah seorang pakar yang terlibat menyebutkan bahawa tidak mungkin untuk dilaksanakan transformasi yang diharapkan tanpa memahami tabiat Islam dan kekuatan mereka. Jalan penyelesaiannya ialah dengan memfokuskan kepada seluruh ummat Islam, dengan mengajak (walhal mengaburi) mereka bahawa wujudnya kelompok-kelompok didalam mereka, iaitu :

1). Fundamentalis - Mereka menjadi musuh kepada demokrasi dan Barat. Mereka mesti diperangi dan dibasmi sampai ke akar umbi. Kerana golongan ini adalah yang terbaik ialah orang-orang yang ingin mati.Mereka ini berpegang teguh dengan apa yang dikenali sebagai Jihad dan mempunyai tafsiran yang halus terhadap al-Quran. Mereka mempunyai cita-cita untuk mengembalikan kegemilangan Islam semula. Golongan mereka ini mesti diawasi, kerana mereka tidak menolak untuk menggunakan medium baru dan sumber ilmu demi menjayakan matlamat mereka. Mereka adalah golongan yang mempunyai kecekapan dalam berhujjah dan perdebatan. Antara termasuk dalam golongan ini ialah golongan Salafi Sunnah, para pendokong Wahabi, para pengikut kumpulan al-Qaeda serta kumpulan-kumpulan yang menumpahkan kesetiaan dan menunjukkan simpati kepada mereka (seperti yang dinyatakan oleh laporan tebabit).

2). Tradisionalis - Adalah menjadi kemestian agar tidak dibuka peluang kepada golongan ini bergabung dengan golongan Fundamentalis. Golongan ini perlu disokong dan diberikan pengetahuan yang menimbulkan rasa sangsi terhadap prinsip-prinsip golongan Fundamentalis. Tujuannya suapaya mereka dapat berada sama tinggi dengan golongan Fundamentalis dari sudut hujjah dan perdebatan. Untuk matlamat ini, maka hendaklah diberikan galakan kepada aliran-aliran Sufi termasuk Syiah. Hendaklah diberikan sokongan dan disebarkan fatwa-fatwa daripada mazhab Hanafi untuk menandingi mazhab Hanbali (yang menjadi sumber kepada fahawa Wahabi dan juga idea-idea pertubuhan al-Qaeda dan lain-lainya). Pada masa yang sama, sokongan yang padu hendaklah diberikan kepada golongan yang lebih bersikap terbuka (sekular dan yang sama dengannya) daripada kalangan golongan Tradisionalis. Golongan Tradisionalis ini perlu dibantu untuk menjadi lawan kepada golongan Fundamentalis. Melalui golongan ini juga (Tradisionalis) akan dipergunakan untuk memberikan gambaran kepada majoriti ummat Islam, orang-orang yang berpegang teguh kepada agama, belia dan wanita dikalangan ummat Islam yang berada di Barat supaya persepsi mereka terhadap golongan dan seruan dari Fundamentalis adalah salah, diantaranya seperti berikut :

a - Membasmi tanggapan mereka tentang Islam dan tentang kecemerlangan serta kemampuan Islam.

b - Menzahirkan hubungan dan komunikasi yang mirip kepada mereka serta tidak mengikut undang-undang.

c - Memberikan kesedaran tentang risiko buruk daripada aktiviti keganasan yang dijalankan oleh mereka (Fundamnetalis).

d - Menzahirkan bahawa golongan itu (Fundamentalis) tidak mempunyai kemampuan untuk memerintah disamping ketinggalan zaman.

e - Menyuburkan faktor-faktor yang boleh menjadikan mereka (Fundamnetalis) berpecah-belah antara satu sama lain.

f - Mendorong para wartawan supaya membuat kajian tentang segala maklumat dan wasilah yang boleh memberikan gambaran tentang keburukkan, kerosakkan, kemunafikkan, dan keburukkan akhlak serta kelemahan iman golongan itu (Fundamentalis)

g - Menghindarkan daripada sebarang usaha yang menyebabkan penghormatan untuk mereka dan hasil kerja mereka (Fundamnetalis). Hindarkan daripada menampilkan mereka sebagai wira, malah pengecut, hilang pertimbangan, pembunuh dan penjenayah, agar mereka tidak berupaya menagih simpati sesiapa pun.

3). Sederhana (Moderate) - akan disebutkan didalam fasal KELIMA
4). Liberal/Sekular  - akan disebutkan didalam fasal KESEMBILAN


TAHUN 2006
Yayasan RAND telah menerbitkan lagi sebuah kajian/laporan dan dibukukan dua jilid yang berjudul “Apa Selepas Al-Qaeda”. Buku itu mengandungi empat perbahasan yang pokok. Jilid pertama menyentuh tentang gerakan jihad antarabangsa manakala jilid kedua menyentuh tentang lingkaran luar terhadap dunia keganasan. 

Kajian Pertama : Menyentuh tentang akidah, pergerakan, strategi, taktik, kos pembiayaan, operasi, penyamaran individu, prospek hala tuju atau masa depan yang berkaitan dengan al-Qaeda.

Kajian Kedua : Menyentuh tentang kumpulan-kumpulan jihad yang mendokongi fahaman al-Qaeda sedunia. Termasuk juga kumpulan-kumpulan jihad yang tidak mempunyai pertalian dan perhubungan secara rasmi dengan al-Qaeda.

Kajian Ketiga : Menyentuh tentang kumpulan-kumpulan pengganas Islam dan bukan Islam, yang mana mereka tidak juga terlibat dengan al-Qaeda namun tetap mengancam kepentingan Amerika, rakan dan sekutunya. Seperti Hamas, Ikhwan Muslimun ataupun kumpulan militan dan mafia.

Kajian Keempat : menyentuh tentang keganasan dengan jenayah terancang, teknik-teknik golongan pengganas yang mempergunakan pertubuhan-pertubuhan dalam menampung pembiayaan mereka.

Orang yang terlibat menyediakan kajian/laporan itu adalah Angel Rabasa. Orang yang terlibat menyediakan kajian/laporan itu adalah Angel Rabasa, seorang penyelidik akademik yang pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Amerika. Berkelulusan Phd dari Universiti Harvard Amerika. Mahir bertutur bahasa Perancis, Itali, Greec dan Sepanyol selain bahasa Inggeris. Dia banyak menghasilkan buku dan jurnal mengenai Dunia Islam. Menyerukan Amerika Syarikat supaya meluaskan semaksima mungkin untuk menghalang segala bantuan negara-negara Islam kepada al-Qaeda. Diantara kenyataannya :

“.. Kejayaan dalam menghadapi al-Qaeda yang merupakan kumpulan jihad antarabangsa boleh dicapai melalui menyerang akidah mereka, memutuskan sebarang hubungan diantara kumpulan-kumpulan jihad dan menghalang kemampuan negara-negara yang menjadi sasaran jihad untuk menghadapi gerakan-gerakan jihad..” 

“..Gerakan jihad sedunia adalah gerakan idealogi militant radikal. Melancarkan peperangan terhadap gerakan itu hendaklah melalui peperangan pemikiran. Tujuan disebalik peperangan ini seperti yang disebutkan oleh laporan terbabit , iaitu menghalang al-Qaeda daripada berupaya mengeksploitasi ucapan-ucapan berunsur Islam dan kepolitikan kerana mereka mahir menggunakannya ..” 

Didalam buku itu , disebutkan bahawa akidah jihad terus menerus tersebar dan semakin mendapat penerimaan di Dunia Islam. Perkara itu akan melahirkan golongan-golongan pengganas lebih banyak, dimana mereka berperanan melakukan pembaharuan barisan al-Qaeda. Jika akidah jihad dan kebenarannya berjaya dikekang maka kumpulan al-Qaeda akan semakin lemah dan mati. Semata-mata memerangi kumpulan pengganas dari golongan Tradisionalis adalah tidak memadai untuk menewaskan al-Qaeda. Adalah mesti difahami bahawa pertentangan dengan al-Qaeda adalah pertentangan akidah dan kepolitikan. Sukarnya meruntuntuhkan akidah jihad antarabangsa dari luar kerana al-Qaeda telah membuka laluan untuk orang Islam menentang Barat. Walaupun begitu bukan semua kumpulan jihad antarabnagsa mempunyai visi yang sama dengan al-Qaeda. Disamping itu hendaklah Amerika Syarikat memperkuatkan dan memberikan sokongan keupayaan kepada kerajaan-kerajaan rakan dan sekutunya. Akan tetapi sokongan itu hanyalah terbatas dalam bentuk menyuarakan pandangan dan penerangan, pengumpulan analisis dan laporan – mahupun ketenteraan mengikut keperluan.

Oleh itu, Amerika Syarikat digesa supaya menghalang serta memutuskan segala perhubungan antara kumpulan-kumpulan jihad antarabangsa dengan kumpulan-kumpulan jihad tempatan – yang tidak memberi ancaman kepada Barat. Caranya ialah :

1). Menyebarluaskan dan memperkuatkan perbalahan antara gerakan jihad antarabangsa al-Qaeda dengan gerakan jihad tempatan.

2). Menonjolkan bahawa mana-mana negara atau negeri Islam yang didirikan oleh gerakan jihad antarabangsa al-Qaeda, akan menepikan sekalian aliran Islam yang lain.

Melalui penilaian penulis, kajian/laporan diatas ini amat keras dan bahaya. Kejahatan terpampang jelas untuk memusuhi Islam dan ummatnya. Setiap keganasan yang berlaku dikaitkan dengan Islam, bahkan menakutkan masyarakat sedunia termasuk ummat Islam sendiri dengan perkataan JIHAD. Oleh itu penulis menasihatkan kembalilah kepada petunjuk, iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam menyampaikan risalah da'wah demi memartabatkan serta memperjelaskan kepada semua, bahawa Islam adalah Rahmatan lil a'lamin.

......................................................

BESARNYA PENGARUH LAPORAN YAYASAN RAND
Laporan-laporan atau kajian-kajian yang dikemukan oleh yayasan tersebut amat menitik beratkan isu-isu yang berkaitan dengan Timur Tengah. Secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa segala hasil laporan/kajian dari yayasan itu di masa kini, memfokuskan kepada idea-idea bagaimana polisi mereka untuk menghadapi Islam secara umum demi melumpuhkan peranan dan keberkesanannya. Adakalanya laporan/kajian itu cenderung mengutarakan pandangan supaya dihapuskan sebahagian elemen dan isi kandungan yang terdapat didalam aliran Islam, terutamanya elemen-elemen yang menjadikan tindakan ketenteraan sebagai pilihan dalam menghadapi pencerobohan Amerika dan Barat terhadap Dunia Islam dan Arab.

Laporan /kajian yayasan itu sangat prihatin dalam merencanakan pentingnya dilihat apakah faedah yang bakal diperolehi melalui strategi Amerika, dengan menyemarakkan api perbalahan dari dalam Dunia Islam dan menjadikan Dunia Islam berpecah kepada banyak bahagian. Juga faedahnya yang bakal diperolehi dengan membahagikan komunuti ummat Islam itu kepada golongan sederhana (moderate) bagi menghadapi golongan radikal, militan mahupun dari golongan tradisionalis. Demekian juga faedahnya dari golongan Syiah, bagi menghadapi golongan Sunni, golongan Arab menghadapi golongan bukan Arab dan dari golongan Sekular/Liberal bagi menghadapi golongan Islam. Tujuan utamanya ialah mengoyak-rabakkan kesatuan ummat Islam dari dalam dan luar. Alhasilnya, dengan itu Amerika dapat masuk campur dalam urusan negara-negara rantau Islam melalui kerosakkan yang direncanakan mereka itu.

Antara yang menambah keberkesanan laporan/kajian yayasan itu (RAND), ialah kerana pentadbiran Amerika Syarikat sedang menghadapi ketandusan idea dan perancangan yang berkesan untuk memperolehi kemenangan hakiki dirantau tersebut. Ini jelas kebelakangan beberapa tahun ini, Amerika menghadapi pelbagai kegagalan sama ada di peringkat sokongan, ketenteraan, hebahan bahkan kepolitikkan. Atas sebab itulah pentadbiran Amerika dengan bersungguh-sungguh menceduk dan mengambil segala idea-idea yang berkesan dari pelbagai pusat kajian dan pemikiran, khususnya yang datang dari Yayasan RAND tersebut.

Oleh sebab itu, yayasan RAND telah mendapat kedudukan yang istimewa berbanding dari yayasan-yayasan kajian dan pemikiran yang lain di Amerika. Ini disebabkan yayasan itu mempunyai beberapa cawangan yang aktif di rantau Timur Tengah seperti di Qatar. Keadaan ini menjadikan laporan/kajian dan usul yang dikemukakan oleh yayasan tersebut mendapat kepercayaan yang tinggi dari pentadbiran dari kalangan pembuat dasar di Amerika. Bukti jelas telah menunjukkan bahawa pada beberapa tahun yang lampau, beberapa saranan yang telah diterbitkan oleh yayasan tersebut telah menjadi strategi dan polisi yang praktikal oleh pentadbiran Amerika dalam berinteraksi dengan rantau Islam dan Arab.

Adalah perlu dinyatakan oleh penulis, bahawa segala laporan/kajian yang dikemukakan oleh yayasan tersebut mempunyai ciri- ciri kekuatan idea, kelantangan saranan, pengadunan yang cantik dan saranan yang berkesan kepada para pembuat dasar melalui cadangan-cadangan yang amat praktikal dan strategi untuk dilaksanakan sahaja bila-bila masa. Dengan sifatnya yang sedemikian maka ia (Yayasan RAND) berupaya mempengaruhi para pembuat dasar di Amerika dan Dunia Barat secara umumnya , termasuk juga di beberapa negara Arab dan Islam. Satu perkara yang perlu diberikan perhatian pada masa kini, ummat Islam banyak ketinggalan dalam mengikuti, membuat penilaian dan mengkaji laporan/kajian yang terbit dari pusat-pusat pemikiran Amerika, khususnya dari Yayasan RAND. Kita ummat Islam hanya menyedarinya apabila segala laporan/kajian tersebut telah dilaksanakan. Kita hanya menyedarinya apabila melihat sebahagian ummat Islam atau negara-negara Islam telah berpegang dengan polisi-polisi yang direncanakan oleh Amerika dan sekutunya.

Oleh itu, melalui kesungguhan hasil pendedahan dan pembongkaran oleh Dr.Basem Khafaji dalam mengkaji segala perancangan jahat mereka itu, kita hendaklah mengambil perhatian dalam menangani dan “merawat kecacatan” sebaik serta secepat mungkin untuk mengembalikan dan memperkuatkan kesatuan ummat Islam.

Tujuan beliau ialah untuk memberikan kesedaran kepada Dunia Arab dan Islam tentang gambaran-gambaran yang akan dilakukan mahupun telah dilakukan oleh pentadbiran Amerika dan sekutunya dalam berinteraksi dengan Dunia Arab dan Islam. Diakhir penulisan ini akan dibentangkan beberapa kaedah dan saranan strategi kepada pra pembuat dasar dikalangan ummat Islam, bagi menghadapi “serangan pemikiran” tersebut.

......................................................

LAPORAN RAND : PEMBENTUKAN RANGKAIAN UMAT ISLAM SEDERHANA
Yayasan RAND telah menerbitkan laporan/kajian ini (Building Mederate Muslim Networks) pada penghujung bulan Mac 2007 - Rabiul Awal 1427. Ia adalah pelengkap kepada siri-siri laporan/kajian yang telah dimulakan oleh yayasan yang berpengaruh ini. Laporan/kajian ini bertujuan menggariskan ruang lingkup idea untuk menghadapi Dunia Islam selepas peristiwa 11 Sepetember 2001. Diantara yang baru didalam laporan/kajian tersebut ialah mengemukakan saranan kepada pentadbiran Amerika Syarikat supaya mengambil pengajaran dan pengalaman silam semasa Perang Dingin dalam menghadapi gelombang pemikiran Komunis dahulu. Pengalaman ini hendaklah dimanfaatkan semula dalam menghadapi aliran didalam ummat Islam zaman ini.

Penyedian laporan/kajian yang lengkap ini mengambil masa lebih kurang tiga tahun. Para penyedia laporan/kajian yang terbabit telah melakukan banyak tinjauan dan pertemuan dengan ramai pemikir dan pengamal media di Amerika, Eropah dan juga Dunia Islam dalam usaha menghasilkan laporan/kajian tersebut yang setebal 217 halaman dan memuatkan pembahagian kepada satu mukadimah, sembilan fasal dan rumusan (akan dibentangkan dalam penulisan ini kelak). Ia berusaha menukilkan pertentangan pemikiran antara Islam dan Barat, supaya dari sudut pandang yang lain ia menjadi satu pertentangan antara Dunia Barat dengan Dunia Islam. Sepertimana ia dilihat mempunyai persamaan dengan antara dua blok ketenteraan Timur dan Barat semasa Perang Dingin dahulu. Laporan/kajian ini juga mengaskan bahawa perbalahan sebenarnya ialah satu perbalahan tentang idea pemikiran, disamping perbalahan ketenteraan atau keamanan. Dengan itu, bahawa keberkesanan peperangan dalam menghadapi keganasan tidak akan tercapai sepenuhnya melalui lapangan keselamatan atau ketenteraan. Adalah yang terpenting sekali dan utama, ialah segala Ideologi Islam (yang dilabelkan oleh laporan ini sebagai ideologi radikal) hendaklah ditewaskan melalui lapangan atau cara Ideologi juga.

Angel Rabasa menyatakan : 

"..Perbalahan yang terjadi di Dunia Islam pada hari ini ialah pertentangan pemikiran. Disana tidak berlaku peperangan antara pelbagai tamadun, dan Islam tidak mengambil pendirian untuk menghadapi Barat. malah apa yang berlaku ialah perbalahan dalaman Islam untuk menggariskan hakikat ajaran Islam itu sendiri. Kita tidak berupaya untuk campurtangan atas sifat negara asing yang bukan Islam bagi menghadapi ideologi golongan-golongan pelampau. Misi ini menjadi tanggungjawab orang Islam sendiri untuk melaksanakannya. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengasaskan tapak PERMAINAN dengan memperkuatkan golongan Islam yang sederhana itu. 

Golongan sederhana (moderate) itu bukannya penyeru keganasan. Manakala golongan radikal pula tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan jika ada peluang berbuat demikian dengan tujuan memaksa pendangan mereka diterima. Golongan sederhana adalah majoriti. Akan tetapi golonngan radikal telah menuduh mereka sebagai agen Barat, atau menimbulkan keraguan tentang ke-Islaman mereka. Golongan radikal turut mengancam untuk membunuh mereka. Inilah yang mendorong ramai di kalangan mereka mengambil sikap berdiam diri, atau bersembunyi atau meninggalkan tanah air mereka.."  

Sekali diingatkan oleh penulis, segala isi pembongkaran dari laporan/kajian ini adalah dari Dr.Basem Khafaji. Memfokuskan laporan/kajian dari buku "Pembentukan Rangkaian Umat Islam Sederhana" yang diterbitkan oleh Yayasan RAND.

......................................................

IDEA DAN OBJEKTIF LAPORAN TERBABIT : PEMBENTUKAN RANGKAIAN UMAT ISLAM SEDERHANA (MODERATE).
Didalam laporan/kajian itu, mereka berpendapat sememangnya terdapat pertentangan ideologi antara Barat dengan Dunia Islam. Pertentangan pemikiran itu perlu mengambil iktibar dan dirujuk semuala daripada pengalam silam. Antara penglaman terpenting ialah semasa pertentangan pemikiran dengan aliran pemikiran Komunis , semasa era Perang Dingin dahulu. Laporan/kajian tersebut menyarankan kepada Amerika Syarikat supaya merujuk semula dari pengalaman-pengalam silam itu, dari segi apakah yang menjadikan faktor-faktor kejayaannya dan apakah tindakan yang boleh diulangi semula disamping menggunakan kembali segala medium, peralatan, taktikal serta perancangan yang teliti dalam menangani perbalahan dengan aliran Dunia Islam. Oleh itu, maksudnya bahawa laporan/kajian tersebut telah menyusun, menyebutkan dan menggariskan polisi-polisi perbandingan antara peperangan pemikiran yang dilancarkan dalam menghadapi Dunia Islam.

Laporan/kajian juga berpendapat betapa perlunya Islam ditafsirkan semula oleh kalangan para pendokong didalam aliran Islam itu sendiri. Tafsiran-tafsiran itu hendaklah disemak dan diperbetulkan sehingga menampakkan dengan reality dunia pada hari ini, sejajar dengan undang-undang dan peraturan antararabangsa dalam segenap ruang lingkup demokrasi, isu-isu hak kemanusian serta kewanitaan.

Demikian juga hendaklah difokuskan keperluan mewujudkan satu kefahaman dari istilah atau definasi yang spesifik mengenai “Keserdehanaan Islam” itu yang mana pentakrifan itu didalam adunan Barat sebenarnya. Definasi itu hendaklah dijadikan alat dan medium untuk mengenal pasti golongan yang berkefahaman kesederhanaan dalam Dunia Islam, atas tujuan untuk membezakan sebahagian golongan yang mendakwa berfahaman kesederhanaan tetapi tidak mengikut acuan dan sejajar dengan pentakrifan Amerika dan Barat.

Laporan/kajian menegaskan bahawa pentakrifan tentang kesederhanaa itu adalah merupakan sumber dan faktor terpenting dalam perkhidmatan serta polisi Amerika Syarikat. Laporan/kajian itu dengan tegas menyatakan bahawa kepada mana-mana individu, pertubuhan dan perkumpulan kemasyarakatan yang menganut kefahaman kesederhaan acuan Amerika iaitu “Pembentukan Rangkaian Umat Islam Sederhana(Moderate)” itu, wajib disokong dan diberi bantuan sepenuhnya seperti yang akan penulis bentangkan didalam penulisan ini kelak. Insya Allah.

Disamping itu, laporan/kajian telah mencadangkan kepada Amerika supaya menyokong dan mempergunakan rangkaian aliran Sekular, Liberal dan aliran semasa dari kalangan ummat Islam namun dengan syarat mengikut kefahaman yang sejajar dengan Amerika tanpa kerjasama secara terang/jelas. Ini kerana laporan/kajian hanya menumpukan kepada Pembentukan Aliran Kesederhanaan tersebut sahaja.

Pada akhir laporan/kajian tersebut, dikemukakan himpunan idea dan cadangan sebagaimana untuk menggerakkan rangkaian ummat Islam yang berfahaman kesederhanaan dan memberikan sokongan antarabangsa terhadapnya, agar ia dapat melaksanakan segala misinya dalam menghalang gerakan-gerakan Islam serta membendung kebahayaannya, seperti yang didakwakan oleh para penyedia laporan/kajian tersebut.

......................................................

- Bersambung ke FASAL PERTAMA -