بدأ الاسلام غريبا ، وسيعودغريبا كما بدأ ، فطوبى للغرباء
“Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti pada mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang terasing”
(H/R Imam Muslim,no.145)

Isnin, 7 April 2014

ANAK LUAR NIKAH : SEPUTAR HUKUM NIKAH, IDDAH, NASAB, HARTA, WALI DAN HAKNYA.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MENINJAU SEMULA HUKUM NIKAH, IDDAH DAN NASAB ANAK BAGI PENZINA
(HAFIZ FIRDAUS)
Sesuatu yang tidak dapat disembunyikan pada masa kini adalah banyaknya kes keterlanjuran antara pasangan lelaki dan wanita muslim yang belum berkahwin hingga menyebabkan mereka terjatuh ke dalam kancah perzinaan. Namun, alhamdulillah, dalam jumlah yang banyak tersebut terdapat mereka yang segera teringat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala akan keterlanjuran mereka dan ingin bertaubat. Pada waktu yang sama mereka ingin melangsungkan perkahwinan dengan orang yang mereka zinai dan meneruskan kehidupan berkeluarga dalam suasana yang halal. Di sini timbul beberapa persoalan hukum :

1) Bolehkah penzina bernikah?
2) Bolehkah bernikah dengan wanita yang sedang hamil kerana zina?
3) Bagaimana status anak yang lahir hasil dari zina?

Insya-Allah dalam risalah ini saya akan terangkan hukum bagi persoalan-persoalan di atas. Para ilmuan kita telah pun membuka perbincangan yang luas terhadap persoalan-persoalan di atas dan tidak kurang pula dalam perbincangan tersebut terdapat perbezaan pendapat yang saling menyilang. Di antara perbezaan itu ada yang masyhur kerana memiliki dalil yang kukuh dan ada yang asing kerana tidak memiliki dalil yang kukuh.

Dalam risalah ini saya akan menyertakan perbezaan pendapat tersebut bukan dengan cara menyebut nama tokoh atau mazhab yang berbeza pendapat, tetapi dengan cara mengemukakan dalil dan hujah bagi setiap pendapat.


Seterusnya saya jelaskan pendapat mana yang lebih kuat insya-Allah. Tentu saja dengan catitan, apa yang kuat mengikut analisa saya mungkin lemah mengikut analisa para pembaca sekalian. Semua ini adalah tanda kematangan fiqh yang sekali gus menandakan kematangan seseorang dalam beragama.


1) BOLEHKAH PENZINA BERNIKAH?
Terhadap persoalan ini ada dua senario :

Senario Pertama : Jamal dan Jamilah masing-masing baru berkenalan kira-kira dua bulan. Akan tetapi kerana tarikan nafsu yang amat kuat, mereka terlanjur berzina di sebuah rumah sewa. Masing-masing segera sedar akan kesilapan mereka dan dengan itu mereka ingin bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan muslim yang baik lagi beriman.

Senario pertama merujuk kes penzina yang ingin bernikah dengan penzina. Hukumnya adalah haram berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

الزَّانِي لاَ يَنكِحُ إلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لاَ يَنكِحُهَا إِلاَّ زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

"Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak bernikah melainkan dengan wanita yang berzina atau wanita musyrik; dan wanita yang berzina itu pula (lazimnya) tidak dinikah melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu dilarang kepada orang-orang yang beriman. [al-Nur 24:03]

Ayat di atas menerangkan kes lelaki penzina yang bernikah dengan wanita penzina, atau sebaliknya. Pernikahan tersebut “…dilarang kepada orang-orang yang beriman.” Hukum haram atau larangan pernikahan terangkat apabila kedua-dua lelaki dan wanita tersebut bertaubat dari sebarang aktiviti zina. Dengan taubat, mereka tidak lagi dikenali sebagai penzina di sisi syari‘at Islam dan dengan itu tidak lagi masuk dalam perbicaraan ayat 3 surah al-Nur di atas.

Senario Kedua : Firdaus dan Faridah sedang bersiap sedia menghadapi hari pernikahan mereka yang akan menjelang tiba minggu hadapan. Namun hati Firdaus kurang tenteram mengingatkan sejarah lampaunya yang pernah berzina beberapa kali dengan wanita lain. Dia terfikir, apakah halal untuk aku menikahi Faridah yang dikenali sebagai wanita yang shalihah?

Senario kedua merujuk kepada kes dimana salah seorang dari pasangan yang bakal menikah adalah penzina. Apakah hukum Islam mengenainya? Ayat berikut menjadi rujukan:

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

"Wanita-wanita yang jahat adalah untuk laki-laki yang jahat, dan laki-laki yang jahat untuk wanita-wanita yang jahat; dan (sebaliknya) wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. [al-Nur 24:26]

Antara yang dimaksudkan dengan lelaki dan wanita yang jahat adalah mereka yang melakukan zina. Maka pasangan penzina tidak boleh dinikahkan dengan pasangan yang shalih melainkan dia bertaubat terlebih dahulu sebelum dia bernikah. Dengan taubat, dia termasuk dalam kategori orang yang baik dalam ayat di atas.

Dalam kedua-dua senario di atas, Islam melarang pasangan penzina daripada bernikah. Sama ada kedua-dua pasangan atau salah seorang daripada mereka, aktiviti zina menjadi faktor larangan untuk bernikah. Kenapa sedemikian? Antara hikmahnya, nikah adalah satu ikatan untuk kedua-dua pasangan hidup harmoni sebagai satu keluarga. Tidak dapat dibayangkan bahawa ciri keharmonian itu dapat dicapai jika salah seorang atau kedua-duanya masih melazimkan diri dengan aktiviti zina. Islam menghalalkan nikah agar kedua-dua pasangan hidup harmoni. Maka dengan itu juga, Islam mengharamkan nikah yang sejak dini memiliki ciri yang bertentangan dengan keharmonian tersebut.


2) BOLEHKAH BERNIKAH DENGAN WANITA YANG SEDANG HAMIL KERANA ZINA 
Senario Pertama : Sesudah Jamal dan Jamilah bertaubat dari kesalahan zina, mereka membuat persiapan untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Walaubagaimana pun sebelum tarikh pernikahan, Jamilah mendapati dirinya telah hamil hasil dari hubungannya dengan Jamal sebelum itu. Wujud perbincangan di kalangan ilmuan Islam terhadap senario pertama di atas. Perbincangan mereka menghasilkan dua pendapat :

Pendapat Pertama.
Tidak boleh bernikah dengan wanita yang hamil. Jika sudah bernikah dengan wanita yang hamil, nikah tersebut tidak sah. Ini kerana wanita yang hamil berada dalam keadaan iddah dan waktu iddah tersebut berakhir dengan lahirnya bayi. Pernikahan hanya dibolehkan dan sah selepas bayi dilahirkan. Dalil-dalil pendapat pertama adalah seperti berikut :

Dalil al-Qur’an. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: 

وَأُوْلاَتُ الأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

"Dan wanita-wanita hamil, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya". 
[al-Thalaq 65:04]

Dalil Qiyas (analogi). Sebab (al-‘Illat) dilarang menikah wanita yang hamil adalah supaya tidak terjadi kekeliruan tentang siapakah ayah sebenar bagi anak yang sedang dikandung itu. Maka hukum nikah bagi wanita yang hamil kerana zina diqiyaskan kepada hukum ayat 4 surah al-Thalaq di atas, supaya tidak terjadi kekeliruan tentang siapa ayah sebenar bagi anak yang sedang dikandung itu.

Pendapat Kedua.
Boleh bernikah dengan wanita yang sedang hamil kerana zina. Tidak ada iddah ke atas wanita yang sedang hamil kerana zina. Hukum iddah hanya ke atas isteri, iaitu wanita yang bernikah, kemudian hamil, kemudian bercerai dengan suaminya sama ada kerana talak atau kematian. Ada pun dalil Pendapat Pertama, maka para ilmuan dari Pendapat Kedua berkata :

Ayat 4 surah al-Talaq merujuk kepada para isteri, iaitu wanita yang bernikah, kemudian hamil, kemudian diceraikan. Ayat 4 adalah sebahagian dari keseluruhan perbincangan yang bermula dari ayat pertama:

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمْ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ...

"Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya…" [al-Thalaq 65:01]

Kaedah qiyas hanya digunakan untuk persoalan hukum yang muncul selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ada pun persoalan zina, ia adalah sesuatu yang wujud pada zaman Rasulullah. Banyak hukum berkaitan zina dan penzina yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya melalui al-Qur’an dan al-Sunnah. Demikian juga hukum-hukum berkaitan hubungan seks dengan wanita tawanan perang yang hamil, ia telah digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Namun pada waktu yang sama, Allah dan Rasul-Nya tidak menggariskan hukum iddah ke atas wanita merdeka yang hamil kerana zina. Padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :

وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا.

"Dan tiadalah Tuhanmu (Allah) terlupa". [Maryam 19:64]

Justeru apabila Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan hukum iddah ke atas wanita merdeka yang hamil kerana zina, bererti tidak ada hukum iddah ke atas mereka. Ada pun untuk mengelakkan kekeliruan terhadap siapakah ayah sebenar anak yang sedang dikandung, perbicaraannya akan menyusul ketika membahas status anak yang lahir hasil dari zina insya-Allah.

Pendapat Yang Kuat.
Tanpa melepaskan sikap hormat saya kepada para ilmuan yang berpegang kepada pendapat pertama, pada analisa saya pendapat yang kedua adalah lebih kuat. Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai Tuhan yang mencipta manusia amat mengetahui tabiat manusia yang mudah terlanjur hingga berzina. Pada waktu yang sama Allah juga mengetahui bahawa di antara hamba-Nya yang berzina, ada sebahagian yang ingin bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang halal. Untuk bernikah, Allah tidak menetapkan hukum iddah. Sebaliknya Allah menetapkan hukum taubat. Apabila para hamba-Nya yang berzina bertaubat, dosa dan kesan kesalahan zinanya dihapuskan.

Perkara penting berkenaan taubat adalah, ia bukan sahaja menghapuskan dosa kesalahan, tetapi juga menghapuskan kesan kesalahan. Pengecualian adalah apabila kesan kesalahan itu melibatkan hak orang lain, maka orang yang bertaubat hendaklah juga mengembalikan hak orang yang disalahinya itu.

Apabila Adam dan Hawa memakan pokok yang dilarang, mereka segera bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubat mereka. Dalam rangka menerima taubat mereka, Allah tidak menyuruh Adam dan Hawa memuntahkan apa yang telah mereka makan atau menghukum sebahagian dari darah daging mereka sebagai hasil dari sesuatu yang haram. Taubat Adam dan Hawa sekali gus menghapuskan dosa dan kesan kesalahan:

فَأَكَلاَ مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى (121

ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى (122

"Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan. Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk". [Ta-Ha 20:121-122]

Jika wanita yang sedang hamil kerana zina ditetapkan hukum iddah, ia akan menyebabkan dia terpaksa menanggung malu di sisi masyarakat atas satu kesalahan yang telah dia bertaubat darinya. Wanita itu tidak akan memiliki banyak pilihan kecuali menggugurkan kandungannya atau membuangnya setelah dilahirkan. Kedua-dua pilihan ini merupakan dosa yang besar. Semua ini menyelisihi konsep taubat yang menghapuskan dosa dan kesan orang yang pernah berbuat salah.

Senario Kedua : Pada satu masa yang lalu Azura memiliki beberapa teman lelaki yang ditidurinya secara bergilir-gilir. Malam ini dia bersama Roy, malam esok dia bersama Ahmad, malam lusa dia bersama Azlan, dan begitulah pada malam-malam seterusnya dengan beberapa lelaki yang lain. Kini dia hamil dan dia tidak tahu siapakah ayah kandungannya. Azura ingin bertaubat, bernikah dan memulakan kehidupan baru suami isteri secara halal. Di antara semua lelaki tersebut, dia ingin mengambil Azlan menjadi suaminya.

Senario pertama merujuk kepada wanita yang hamil kerana zina dan dia mengetahui secara pasti siapakah lelaki yang menghamilkannya. Ada pun senario kedua, ia merujuk kepada wanita yang hamil kerana zina dan dia tidak pasti siapakah lelaki yang menghamilkannya. Bagi senario kedua, pasangan boleh bernikah berdasarkan apa yang telah dikupas dalam senario pertama di atas. Akan tetapi terdapat perbincangan tambahan di kalangan para ilmuan terhadap senario kedua, bolehkah kedua-dua pasangan itu melakukan persetubuhan? Di sini terdapat dua pendapat :

Pendapat Pertama.
Tidak boleh bersetubuh sehingga bayi dilahirkan berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يَسْقِ مَاءَهُ وَلَدَ غَيْرِهِ

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka janganlah dia menyirami air maninya ke atas anak milik orang lain". [Hadis di atas dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1131(Kitab al-Nikah, Bab berkenaan lelaki yang membeli seorang hamba padahal dia hamil).

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang seorang lelaki daripada bersetubuh dengan seorang wanita yang sedang hamil hasil dari hubungan dengan orang lain.

Pendapat Kedua.
Boleh bersetubuh kerana hadis-hadis yang melarang sebenarnya merujuk kepada wanita yang tidak merdeka seperti hamba dan tawanan perang. Ada pun wanita merdeka yang hamil kerana zina, maka tidak ada dalil yang melarang persetubuhan bersama lelaki yang dinikahinya, sekali pun lelaki itu bukan orang yang menghamilkannya.

Pendapat Yang Kuat.
Jika dikaji semua hadis berkaitan larangan bersetubuh dengan wanita yang dihamilkan oleh lelaki lain, akan ditemui bahawa di antaranya ada yang bersifat umum dan ada yang bersifat khusus kepada wanita hamba dan tawanan perang. Maka hadis yang bersifat umum meliputi semua kategori wanita sama ada yang merdeka atau tidak. Oleh itu pendapat yang lebih selamat adalah pendapat yang pertama, iaitu tidak bersetubuh sehinggalah bayi itu dilahirkan.

Antara hikmah larangan adalah supaya bayi yang dikandung tetap selamat ketika berlakunya persetubuhan. Jika yang sedang bersetubuh adalah ayah kandungan, nescaya dia akan berhati-hati dan lemah lembut. Sebaliknya jika yang sedang bersetubuh adalah bukan ayah kandungan, kemungkinan besar dia akan lupa sehingga beraksi dengan kekasaran yang mungkin mencederakan kandungan atau menyebabkan keguguran.


3) BAGAIMANA STATUS ANAK YANG LAHIR DARI ZINA ? 
Senario Pertama : Jamilah akhirnya melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat. Jamal dan Jamilah sangat bergembira lagi bersyukur kepada Allah. Mereka menamakan bayi tersebut Sakinah. Seterusnya mereka berfikir, apakah status bayi tersebut? Bolehkah dia dinasabkan kepada Jamal dan diberi nama Sakinah binti Jamal? Apabila dewasa, perlukah Sakinah sentiasa menjaga auratnya ketika di rumah apabila Jamal ada bersama? Bolehkah Jamal menjadi wali perkahwinan Sakinah satu hari kelak dan mewariskan hartanya kepada Sakinah?

Para ilmuan sekali lagi memiliki perbincangan dalam menentukan status anak yang asalnya adalah hasil zina. Perbincangan mereka membuahkan dua pendapat :

Pendapat Pertama.
Anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada ayahnya. Apabila baligh, anak tersebut hendaklah menjaga auratnya apabila berhadapan dengan ayahnya. Pada waktu yang sama ayahnya tidak boleh menjadi wali perkahwinan dan tidak boleh mewariskan harta kepada anaknya. Ringkasnya, dia adalah ayah dari sudut biologi tetapi tidak dari sudut hukum agama.

Dalilnya adalah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2053 (Kitab al-Buyu’, Bab tafsir al-Musyabihat):

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

"Anak itu adalah bagi yang memiliki tempat tidur manakala lelaki yang (menzinai) dijauhkan".

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa anak zina dinasabkan kepada empunya tempat tidur, iaitu si-wanita (ibunya) manakala lelaki yang menzinai sehingga lahirnya anak tersebut dijauhkan. Ringkasnya ayah yang menzinai tidak memiliki apa-apa kaitan hukum dengan anaknya.

Pendapat Kedua. 
Anak tersebut dinasabkan kepada ayahnya sama ada dari sudut biologi mahu pun hukum. Maka anak itu dinamakan Sakinah binti Jamal dan ayahnya (Jamal) boleh menjadi wali pernikahan Sakinah dan mewariskan harta kepadanya. Ini kerana taubat yang dilakukan oleh Jamal dan Jamilah menghapuskan semua kesan kesalahan zina mereka yang lalu, kini dan akan datang.

Selain itu terdapat dalil dari sejarah umat Islam sendiri dimana ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mula mendakwahkan Islam, keluarga-keluarga yang sebelumnya dalam keadaan jahiliyah memeluk Islam. Keluarga-keluarga ini terbahagi kepada dua kategori :

Kategori Pertama :
Seluruh keluarga, yakni suami isteri dan anak-anak memeluk Islam. Bagi kategori ini, suami isteri tersebut tidak dituntut untuk bernikah semula. Pernikahan mereka melalui adat jahiliyah dahulu diiktiraf apabila mereka memeluk Islam. Padahal jika ditinjau dengan lebih mendalam, pernikahan yang mereka lakukan satu masa lalu hanya sah dari ukuran adat jahiliyah, tidak sah dari ukuran hukum Islam. Ringkasnya pasangan suami isteri itu hidup dalam suasana zina dan melahirkan anak melalui hubungan zina.

Akan tetapi apabila mereka memeluk Islam, ia adalah satu bentuk taubat yang dengannya semua tindakan mereka yang lalu tidak lagi diambil kira. Apabila mereka memeluk Islam sekeluarga, pernikahan mereka yang lalu melalui adat jahiliyah diiktiraf oleh Islam sebagai pernikahan yang sah dan anak mereka yang terhasil dari persetubuhan jahiliyah diiktiraf oleh Islam sebagai anak yang sah. Anak itu dinasabkan kepada ayahnya secara biologi dan hukum.

Hukum ini masih berlaku hingga masa kini. Umpamakan Rajen A/L Gobindren dan isterinya Rajeswari A/P Apawari bersama anak mereka Kumari A/P Rajen sekeluarga memeluk Islam. Rajen dan isterinya Rajeswari tidak dituntut untuk bernikah semula cara Islam. Pernikahan mereka melalui cara Hindu diiktiraf oleh Islam. Yang dianjurkan hanya sekadar tambahan nama bagi memudahkan pengenalan bahawa mereka telah memeluk Islam. Contohnya Muhammad Rajen bin Gobindren dan Siti Rajeswari binti Apawari.

Demikian juga bagi anak perempuan mereka, Kumari A/P Rajen. Islam tidak bertanya berkenaan status Kumari, sebaliknya menerima Kumari sebagai anak yang sah bagi Rajen. Muhammad Rajen boleh menjadi wali kepada pernikahan Kumari satu masa nanti dan boleh mewariskan harta kepada Kumari. Hanya yang dianjurkan adalah penambahan nama bagi memudahkan pengenalan bahawa Kumari telah memeluk Islam. Contohnya Siti Kumari binti Muhammad Rajen.

Kategori Kedua : 
Hanya anak yang memeluk Islam manakala ibubapanya masih dalam agama Jahiliyah. Bagi kategori ini, Islam tetap menerimanya sebagai anak sah bapanya tanpa bertanya sejarah asal usul anak tersebut. Anak itu tetap dinasabkan kepada ayahnya secara biologi tetapi tidak secara hukum. Maka ayah tidak boleh menikahkan anaknya dan tidak ada harta warisan (mengikut salah satu pendapat) bagi anaknya.

Hukum ini tetap berlaku pada masa kini. Kita kembali kepada contoh Rajen dan keluarganya. Kini umpamakan hanya Kumari yang memeluk Islam manakala Rajen dan Rajeswari kekal dengan agama Hindu. Kumari tetap diiktiraf oleh Islam sebagai anak Rajen dan dinasabkan kepadanya: Siti Kumari binti Rajen. Akan tetapi tidak boleh dinasabkan secara hukum, bererti Rajen tidak boleh menjadi wali kepada pernikahan Siti Kumari dan mewariskan harta kepada Kumari (mengikut salah satu pendapat).

Pendapat Yang Kuat. 
Pada analisa saya, sekali pun yang masyhur adalah pendapat pertama, tetapi dari sudut ketepatan dalil dan kekuatan hujah, pendapat kedua adalah yang terpilih. Ada pun hadis “Anak itu adalah bagi yang memiliki tempat tidur manakala lelaki yang (menzinai) dijauhkan.”, maka ia tidak tepat untuk dijadikan dalil dalam persoalan yang sedang dibincang. Ini kerana hadis tersebut, jika dikaji kisahnya dari awal hingga akhir, hanya merujuk kepada kes seorang anak yang diperselisihkan, siapa ayahnya yang sebenar? Maka Rasulullah mengembalikan anak tersebut kepada pasangan suami isteri yang sudah bernikah secara sah. Seandainya si-isteri telah berzina dan itu adalah anak zina, anak itu tetap dinasabkan kepada suami isteri yang sah manakala lelaki yang menzinai tidak memiliki apa-apa hubungan nasab.

Istilah (الفراش) bererti hamparan tempat tidur, di sini secara kiasan merujuk kepada isteri kerana isteri adalah umpama tempat tidur bagi suami melalui pernikahan yang sah. Pasangan yang pernah berzina tidak memiliki (الفراش) dan tidak dikenali sebagai (الفراش), justeru mereka dan anak hasil perzinaan mereka tidak memiliki apa-apa kaitan dengan hadis di atas.

Senario Kedua : Azlan dan Azura bertaubat dan melangsungkan pernikahan. Azura kemudiannya selamat melahirkan anak perempuan yang mereka namakan Anisah. Akan tetapi Azura masih tidak tahu siapakah ayah Anisah yang sebenar. Azlan juga tahu bahawa dia mungkin ayah biologi kepada Anisah dan mungkin juga tidak. Sekali lagi, bezakan bahawa senario pertama merujuk kepada anak hasil zina yang diketahui siapa ayahnya manakala senario kedua merujuk kepada anak hasil zina yang tidak diketahui siapa ayahnya.

Maka bagi senario kedua anak zina tersebut tidak boleh dinasabkan secara biologi mahu pun hukum kepada si-ayah. Dalam ertikata lain, tidak boleh memberi nama Anisah binti Azlan, sebaliknya hendaklah diberi nama Anisah binti Abdul Rahman (atau mana-mana nama Allah yang lain). Anisah hendaklah menjaga auratnya apabila berhadapan dengan ayahnya (Azlan) dan Azlan tidak boleh menjadi wali penikahan Anisah mahu pun mewariskan harta kepada Anisah. Hubungan Azlan dengan Anisah adalah umpama hubungan seorang ayah dengan anak angkat.

Dalilnya adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6767 (Kitab al-Faraidh, Bab orang yang menyandarkan…):

مَنْ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

"Sesiapa yang menyandarkan nasabnya kepada seseorang yang bukan ayah (biologi)nya padahal dia mengetahui bahawa itu bukan ayah (biologi)nya maka syurga diharamkan ke atasnya".

Hadis di atas adalah umum meliputi semua kes seperti anak dari pernikahan yang sah, anak angkat, anak yatim dan anak dari hasil perzinaan yang tidak diketahui ayahnya.Walau bagaimanapun pada masa kini sudah ada kaedah pemeriksaan DNA dimana dengan membandingkan kod-kod genetik manusia, dapat diketahui siapa ayahnya. Malah teknologi terkini membolehkan pemeriksaan dilakukan terhadap bayi yang berumur 12 minggu ke atas sekali pun masih berada dalam kandungan ibunya.

Azlan dan Anisah boleh melakukan pemeriksaan DNA dan jika didapati Azlan adalah ayah biologi Anisah, maka hubungan antara kedua-duanya kembali kepada senario pertama di atas. Akan tetapi jika pemeriksaan DNA menunjukkan Azlan bukan ayah biologi Anisah atau pemeriksaan DNA tidak dapat dilakukan, maka hubungan kedua-duanya adalah seperti senario kedua di atas.


KESIMPULAN.
Menarik untuk diperhatikan bahawa Allah dan Rasul-Nya sebenarnya mendiamkan hukum iddah dan status anak penzina. Tidak ada ayat atau hadis yang secara jelas lagi padu (Qathi’e) menggariskan hukum iddah dan status anak penzina. Ketiadaan ini menyebabkan hukum iddah dan status anak penzina masuk dalam kategori Ijtihadiyah dan para ilmuan terbahagi kepada dua golongan dalam menyikapinya :

- Menggunakan dalil-dalil umum dan memasukkan hukum iddah dan status anak bagi penzina dalam keumuman tersebut. Juga menggunakan kaedah qiyas bagi menghubungkan hukum iddah dan status anak penzina kepada dalil-dalil yang membicara hukum lain secara khusus.

- Menggunakan hujah kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah, bahawa jika kedua-dua sumber tersebut tidak menggariskan hukum iddah dan status anak penzina, padahal kedua-dua masalah tersebut sedia wujud pada masa sebelum kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tidak perlu bagi orang selepas kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah menggariskan sesuatu hukum.

- Kedua-dua manhaj di atas adalah benar jika diukur melalui disiplin ilmu-ilmu Islam. Dalam menganalisa dalil dan hujah kedua-dua pihak, saya menggunakan satu ukuran lain yang sering ditinggalkan, iaitu pengaruh taubat dalam menghapuskan kesan kesalahan orang yang berzina. Selain itu pada pandangan saya, perbicaraan hukum tidak patut memiliki sifat teknikal sahaja, tetapi perlu juga memiliki sifat adil (al-‘Adil), rahmat (al-Rahman), belas kasih (al-Rahim) dan memaafkan (al-‘Afuw). Semua ini adalah sifat-sifat Allah, Tuhan yang menurunkan hukum Islam itu sendiri.


BEBERAPA NASIHAT AKHIR.
Sebelum mengakhiri risalah ini, ingin saya ambil kesempatan untuk menyampaikan beberapa nasihat akhir.

1). Tujuan risalah ini bukanlah untuk meringankan kesalahan zina tetapi sekadar memberi jalan keluar kepada orang yang terlanjur berzina lalu ingin kembali ke jalan yang benar. Zina tetap merupakan kesalahan yang amat berat lagi keji dalam Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَلاَ تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)". [al-Isra’ 17:32]

Oleh itu sikap yang benar, matang lagi selamat adalah menjauhi zina serta apa jua faktor yang mungkin mengarah kepada zina.

2). Maaf kata, kadangkala faktor yang mengarah kepada zina adalah ibubapa penzina itu sendiri. Sebabnya, apabila anak ingin bernikah, ibubapa sering menghalang dengan alasan-alasan yang hanya layak dikemukakan jika mereka hidup pada Jurasic Park. Alasan “Tamatlah pengajian dulu”, “Kerjalah dulu”, “Tunggulah naik pangkat dulu” dan “Belilah rumah dulu” tidak lagi releven untuk masa kini. Kenapa tak releven? Sudah masanya anda, Wahai Ibubapa, duduk sejenak dan memikirkannya.

Sikap ibubapa yang menghalang anak bernikah tanpa alasan yang munasabah pada zaman kini adalah antara sebab utama mengapa anak-anak muda terlanjur berzina. Oleh itu pada kesempatan ini, ingin saya nasihatkan diri saya dan para ibubapa sekalian agar: Jangan menghalang anak yang ingin bernikah kecuali dengan alasan yang munasabah lagi benar. Alasan itu pula hendaklah memiliki manfaat yang jauh lebih besar berbanding mudarat yang bakal menimpa seandainya diizinkan bernikah.

Seandainya anak terlanjur berzina, ibubapa janganlah menghalang mereka jika mereka ingin bertaubat, bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan yang halal. Malah ibubapa sepatutnya memainkan peranan positif dengan menasihati mereka untuk bertaubat dengan cara bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan yang halal. Seterusnya ibubapa memainkan peranan memimpin dan membantu pasangan muda tersebut menghadapi suka duka kehidupan berumahtangga. Jangan lupa bahawa ibubapa memiliki tanggungjawab yang besar dalam persoalan ini sehingga ke Hari Akhirat. Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

وَالأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ

فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

"Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya". [Shahih al-Bukhari, hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita ad alah pemimpin di rumah suaminya)]

3). Kemungkinan antara yang membaca risalah ini adalah pasangan yang sebelum ini pernah melalui senario-senario yang saya sebutkan atau sesuatu yang menghampirinya. Bagi pasangan ini, saya nasihatkan agar berhati-hati dengan syaitan kerana ia memiliki senjata extra untuk mengganggu kalian. Ini kerana syaitan sentiasa mencari celah untuk merosakkan keharmonian rumahtangga dan kesalahan yang lampau adalah sesuatu yang sentiasa baru lagi efektif bagi syaitan. Syaitan akan menghasut, konon kalian hidup dalam suasana haram, taubat tidak cukup sempurna untuk diterima Allah dan pelbagai lagi demi menaruh keraguan dan akhirnya merosakkan keharmonian rumahtangga.

Semoga risalah ini dapat menjadi senjata untuk melawan balik serangan-serangan syaitan tersebut dan menutup apa-apa celahan lain yang mungkin dapat diselit olehnya.

4). Kemungkinan antara yang membaca risalah ini adalah mereka yang pernah terlanjur berzina atau memiliki kawan yang pernah terlanjur berzina. Hasil dari keterlanjuran tersebut, lahirlah seorang anak yang suci bersih statusnya. Akan tetapi disebabkan oleh pandangan masyarakat, anak tersebut lazim dihukum sebagai anak haram, anak luar nikah, anak zina dan sebagainya. Pandangan masyarakat yang negatif inilah yang menyebabkan pasangan yang terlanjur membuang anaknya dalam tong sampah, tandas atau di tempat perhentian bas.

Diharapkan melalui risalah ini, pandangan masyarakat yang menghukum secara negatif ke atas bayi yang tidak berdosa itu segera dipadamkan. Hasilnya, pasangan yang terlanjur tidak akan merasa bersalah untuk terus memelihara anak mereka itu sepertimana ibubapa yang lain.


SUMBER : HAFIZ FIRDAUS
(http://hafizfirdaus.com/ebook/Risalah-6/tajuk5.htm)
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dibawah ini, dinyatakan satu fatwa dari Majlis Fatwa Negeri Perlis (2008) sebagai contoh.

MENASABKAN ANAK KEPADA SUAMI IBU SEKALIPUN PERKAHWINAN KURANG DARIPADA ENAM BULAN

Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang bermesyuarat pada September 2008 telah memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibubapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut ; “Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami

Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn DYMM Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

MAKSUD FATWA :
Seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang kurang daripada tempoh 6 bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya.

SENARIO :
Di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di ‘bin’ kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam ertikata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’. Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut. Pihak ibubapa pula, amat sukar untuk menerangkan masalah tersebut kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibubapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga.Atas keadaan tersebut maka, isu ini dibincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis. Setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai, maka keputusan tersebut dibuat.

ANTARA ASAS ALASAN : 
Dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi S.A.W. (maksudnya) : “Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini disebutkan oleh Nabi S.A.W apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi S.A.W, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda (maksudnya) : “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut) ”.

Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah S.A.W memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi s.a.w yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi (maksudnya) :
"Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).

NAMUN : 
Keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan, dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

KEBAIKAN FATWA INI : 
Menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurang tempoh perkahwinan. Membantu ibubapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

KESANNYA :
Pihak pendaftaran hendaklah memberikan hak berbinkan suami ibu (bapa) kepada anak yang lahir sama ada kurang atau lebih daripada enam bulan tempoh perkahwinan ibunya, dengan syarat si suami tidak membantah.

Yang benar,


Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis)


SUMBER : DR.MAZA.COM
(http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=42)
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

NASAB ANAK ZINA
(MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI) 
Pernyataan Masalah : 
Telah berlaku masalah dalam masyarakat Malaysia berkenaan nasab anak zina sama ada boleh dinasabkan kepada penzina yang telah berkahwin dengan ibunya dan bolehkah pula lelaki itu menjadi wali perkahwinan kepada anaknya dari zina. Maka, jawatankuasa ini dipohon meneliti dan mengemukakan pendapat berkenaan masalah ini sesuai dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.


DASAR PENDALILAN HUKUM DALAM MASALAH INI.
Hadis yang menjadi asas kepada perbincangan nasab anak zina adalah:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: كَانَ عُتْبَةُ عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدٍ أَنَّ ابْنَ وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي فَاقْبِضْهُ إِلَيْكَ فَلَمَّا كَانَ عَامَ الْفَتْحِ أَخَذَهُ سَعْدٌ فَقَالَ ابْنُ أَخِي عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ فَقَامَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ فَقَالَ أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ سَعْدٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ ابْنُ أَخِي قَدْ كَانَ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ فَقَالَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ ثُمَّ قَالَ لِسَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ احْتَجِبِي مِنْهُ لِمَا رَأَى مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ فَمَا رَآهَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ- (أخرجه البخاري ومسلم وأبو داود والنسائي

Maksudnya : Daripada Aisyah r.a katanya: ‘Utbah (Utbah bin Abi Waqqash) berpesan kepada saudaranya Saad (Saad bin Abi Waqqash r.a) : “Anak lelaki Zam’ah dengan sahayanya adalah anakku maka engkaulah ambillah dia”. Pada tahun pembukaan Makkah, Saad mengambil budak tersebut dan berkata: “dia ini anak saudaraku, dia berpesan supaya aku menjaganya (budak tersebut iaitulah Abdul Rahman bin Zam’ah)”. Kemudian berkata pula Abdun bin Zam’ah r.a: “Dia ini (Abdul Rahman) adalah saudaraku, anak sahaya bapaku, dilahirkan atas hamparannya”. Maka Nabi s.a.w kemudian memtuskan hukum dengan sabda baginda: “sesungguhnya dia ini adalah bagi kamu wahai Abdun bin Zam’ah kerana anak itu milik hamparan (wanita) dan bagi penzina adalah batu (tidak mendapat apa-apa hak)” kemudian baginda bersabda pula kepada Saudah binti Zam’ah r.a (isteri baginda): “Berhijablah kamu di hadapan dia (Abdul Rahman)” dan perkara ini berlaku Nabi s.a.w melihat adanya persamaan (Abdul Rahman) dengan ‘Utbah, maka Saudah tidak pernah berjumpa dengannya sehingga dia wafat.- [al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, at-Tarmizi]

Begitu juga sebuah hadis lagi:

  : عَنْ شُعَيْبٍ ، عَنْ جَدِّهِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْروٍ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ

كُلَّ مُسْتَلْحَقٍ يُسْتَلْحَقُ بَعْدَ أَبِيهِ ، الَّذِي يُدْعَى لَهُ ، ادَّعَاهُ وَرَثَتُهُ مِنْ بَعْدِهِ ، فَقَضَى ؛ إِنْ كَانَ مِنْ أَمَةٍ يَمْلِكُهَا يَوْمَ أَصَابَهَا ، فَقَدْ لَحِقَ بِمَنِ اسْتَلْحَقَهُ ، وَلَيْسَ لَهُ فِيمَا قُسِمَ قَبْلَهُ مِنَ الْمِيرَاثِ شَيْءٌ ، وَمَا أَدْرَكَ مِنْ مِيرَاثٍ لَمْ يُقْسَمْ ، فَلَهُ نَصِيبُهُ ، وَلاَ يُلْحَقُ إِذَا كَانَ أَبُوهُ الَّذِي يُدْعَى لَهُ أَنْكَرَهُ ، وَإِنْ كَانَ مِنْ أَمَةٍ لاَ يَمْلِكُهَا ، أَوْ مِنْ حُرَّةٍ عَاهَرَ بِهَا ، فَإِنَّهُ لاَ يُلْحَقُ وَلاَ يَرِثُ ، وَإِنْ كَانَ أَبُوهُ الَّذِي يُدْعَى لَهُ هُوَ الَّذِي ادَّعَاهُ ، وَهُوَ وَلَدُ زِنًا لأَهْلِ أُمِّهِ ، مَنْ كَانُوا ، حُرَّةً أَوْ أَمَةً

Maksudnya : Daripada Shuaib daripada datuknya Abdullah bin Amru r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap anak yang didapati setelah kematian ayahnya, yang anak itu dinasabkan kepadanya, maka ahli warisnya hendaklah manasbkan anak tersebut kepada ayahnya”. Maka Nabi s.a.w memutuskan:

1- Setiap anak yang dilahirkan oleh sahaya yang dimiliki tuannya semasa hayat tuannya dan disetubuhi maka anak itu dinasabkan pada tuannya dan anak itu tidak mendapat harta warisan yang telah dibahagikan sebelum itu (penetapan nasab) tetapi jika harta belum dibahagikan sebelum dia (anak) ditemui maka dia mendapat bahagiannya tetapi jika bapa yang hendak dinasabkan anak kepadanya ingkar (bahawa budak itu anaknya) maka dia tidak dinasabkan.

2- Jika seorang anak dilahirkan oleh seorang sahaya yang belum dimiliki tuannya atau dilahirkan oleh seorang wanita merdeka hasil perzinaan keduanya maka anak itu tidak boleh dinasabkan padanya (bapa) dan tidak boleh mendapat pusaka. Jika bapanya mengakui bahawa anak itu anaknya maka anak itu adalah anak zina yang mewarisi harta sebelah ibunya sama ada daripada wanita sahaya atau merdeka” -[Abu Daud & Ahmad dengan sanad Hasan menurut al-Albani dan al-Arnauth, didhaifkan oleh Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah]

Kedua-dua hadis ini memiliki sabab wurud yang semakna iaitu menceritakan masalah nasab anak yang diragukan siapakah bapanya kerana di zaman Jahiliyyah, sahaya-sahaya itu dilacurkan oleh tuannya lalu berlaku pertikaian nasab anak yang dilahirkan.


KOMENTAR ULAMA DALAM MASALAH NASAB ANAK ZINA.
Dalam menjelaskan pandangan ulamak berkenaan masalah ini dapat disimpulkan seperti berikut :

1- Seseorang mendakwa bahawa seorang budak adalah anak zina sedangkan wanita itu mempunyai suami dan kelahiran budak itu dalam tempoh yang memungkinkan hamil semenjak berlakunya persetubuhan.

Dalam kes seperti ini ulamak bersepakat bahawa anak itu dinasabkan kepada bapa asal (suami kepada ibu budak tersebut). Ini berdasarkan hadis yang kita sebutkan di atas apabila Utbah menuntut Abdul Rahman bin Zam’ah, oleh kerana Abdul Rahman bin Zam’ah lahir ketika ibunya menjadi sahaya kepada Zam’ah dinasabkan Abdul Rahman kepada Zam’ah bukan Utbah.

2- Wanita yang tidak bersuami kemudian melahirkan anak yang nyata anak itu anak zina.
Dalam kes ini, jumhur ulamak menetapkan juga bahawa anak itu tidak dinasabkan kepada bapanya dari zina bahkan dinasabkan kepada ibu [Kementerian Waqf Kuwait, al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,40/237]. Mereka berhujjah dengan sabda Nabi s.a.w:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: “Anak itu untuk hamparan (isteri) dan bagi penzina adalah batu (tidak mendapat hal nasab)”

Berkata as-Syeikh Wahbah az-Zuhaili Hafizahullah :

ونسب الولد من أمه ثابت في كل حالات الولادة شرعية أو غيرشرعية، أما نسب الولد من أبيه، فلا يثبت إلا من طريق الزواج الصحيح أو الفاسد، أو الوطء بشبهة، أو الإقرار بالنسب، وأبطل الإسلام ما كان في الجاهلية من إلحاق الأولاد عن طريق الزنا

Maksudnya : “dan nasab anak itu tsabit bagi ibunya dalam semua keadaan sama ada dilahirkan secara syar’i atau tidak syar’i, adapun nasab anak kepada bapa, tidak tsabit kecuali dengan jalan perkahwinan yang sahih atau fasid, wati syubhat atau iqrar dan Islam telah membatalkan amalan Jahiliyyah yang menasabkan anak (kepada bapa) melalui zina”[az-Zuhaili,Dr., Wahbah, al-Fiqahul Islami wa Adillatuh, 10/3]

Tetapi, para ulama menetapkan juga bahawa anak zina itu mahram kepada ayahnya dari zina sebagaiman disebut dalam al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [45/221] :

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ الْقَائِلُونَ بِتَحْرِيمِ وَلَدِ الزِّنَى مِنَ الزَّانِي بِأُمِّهِ وَهُمُ الْجُمْهُورُ عَلَى أَنَّهُ يَحْرُمُ عَلَى وَلَدِ الزِّنَى أُصُول الزَّانِي وَفُرُوعُهُ ، لِلْجُزْئِيَّةِ بَيْنَهُمْ

Maksudnya : “Telah sepakat para fuqaha’ bahawa anak zina itu mahram kepada lelaki yang berzina dengan ibunya dan jumhur mereka juga berpendapat diharamkan juga anak zina kepada usul (seperti datuk, dan bapa) kepada penzina dan furuknya (seperti anak dan cucu penzina) kerana sebagahian darinya (penzina)…”

Tetapi, mereka menetapkan penzina tidak mewarisi harta anak zinanya dan sebaliknya [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/70 & 45/223]. Mazhab Syafii menetapkan anak zina bukan mahram kepada bapanya dari zina dan bapanya itu boleh berkahwin dengan anak perempuannya dari hasil zina. Berkata an-Nawawi r.h (w676H) :

زنا بإمرأة فولدت بنتا يجوز للزاني نكاح البنت لكن يكره وقيل إن تيقن أنها من مائة إن تصور تيقنه حرمت عليه وقيل تحرم مطلقا والصحيح الحل مطلقا

Maksudnya : “Seorang lelaki berzina dengan seorang wanita lalu wanita itu melahirkan seorang anak perempuan (hasil perzinaan mereka) maka harus bagi penzina itu bernikah dengan anak perempuan tersebut tetapi makruh dan dikatakan (satu wajah dalam mazhab) jika dia yakin anank perempuan itu hasil air maninya haram bernikah dan terdapat pendapat mengatakan haram secara mutlak (sama seperti jumhur) adapun yang sahih (pada mazhab) adalah halal secara mutlak”- [an-Nawawi,Abu Zakaria, Muhyiddin, Raudhah at-Tolibin wa Umdah al-Muftin,2/483].

Namun, terdapat sebahagian ulamak salaf yang lain berpendapat bahawa anak zina itu adalah anak yang haqiqi kepada bapanya dari zina maka menurut golongan ini, anak itu dinasabkan kepada penzina dan mewarisi hartanya dan sebaliknya.

Pendapat ini dikemukakan oleh Ibn Sirin r.h (w110H), al-Hasan al-Basri r.h (w110), Urwah bin az-Zubair r.h (w93H) dan Sulaiman bin al-Yasar r.h (w107H) [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/222] dan disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (w728H) dan muridnya Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah r.h (w751H)

Disebutkan dalam al-Furuk oleh Ibn Muflih r.h (w763H):

وَاخْتَارَ شَيْخُنَا أَنَّهُ إنْ اسْتَلْحَقَ وَلَدَهُ مِنْ زِنًا وَلَا فِرَاشَ لَحِقَهُ .وَنَصُّ أَحْمَدَ فِيهَا : لَا يَلْحَقُهُ هُنَا ، وَفِي الِانْتِصَارِ : فِي نِكَاحِ الزَّانِيَةِ يَسُوغُ الِاجْتِهَادُ فِيهِ ، ثُمَّ قَالَ : وَذَكَرَ ابْنُ اللَّبَّانِ فِي الْإِيجَازِ أَنَّهُ مَذْهَبُ الْحَسَنِ وَابْنِ سِيرِينَ وَعُرْوَةَ وَالنَّخَعِيُّ وَإِسْحَاقَ ، وَكَذَا فِي عُيُونِ الْمَسَائِلِ ، لَكِنَّهُ لَمْ يَذْكُرْ ابْنَ اللَّبَّانِ

Maksudnya: “dan memilih syeikh kami bahawa jika seorang lelaki menuntut nasab anaknya dari zina dan wanita itu bukan firash dinasabkan padanya. Adapun yang dinaskan daripada Imam Ahmad tidak dinasabkan. Dalam kitab al-Intisar dinyatakan: masalah berkahwin dengan wanita zina adalah masalah ijtihad, kemudian dinyatakan: Ibn al-Labban menyebut dalam al-Ijaz bahawa ini 9menasabkan anak zina kepada penzina) adalah mazhab al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin,Urwah,an-Nakha’i dan Ishaq dan demikian lagi disebut dalam Uyun al-Masail tetapi tidak dinyatakan bahawa ini pendapat Ibn al-Labban”-[al-Hanbali,Ibn Muflih, al-Furuk,10/251]

Dalil pihak ini adalah berdasarkan beberapa atsar :

1- Kisah Juraij r.h seorang ahli ibadat di zaman dahulu:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ رَجُلٌ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ يُقَالُ لَهُ جُرَيْجٌ يُصَلِّي فَجَاءَتْهُ أُمُّهُ فَدَعَتْهُ فَأَبَى أَنْ يُجِيبَهَا فَقَالَ أُجِيبُهَا أَوْ أُصَلِّي ثُمَّ أَتَتْهُ فَقَالَتْ اللَّهُمَّ لَا تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ وُجُوهَ الْمُومِسَاتِ وَكَانَ جُرَيْجٌ فِي صَوْمَعَتِهِ فَقَالَتْ امْرَأَةٌ لَأَفْتِنَنَّ جُرَيْجًا فَتَعَرَّضَتْ لَهُ فَكَلَّمَتْهُ فَأَبَى فَأَتَتْ رَاعِيًا فَأَمْكَنَتْهُ مِنْ نَفْسِهَا فَوَلَدَتْ غُلَامًا فَقَالَتْ هُوَ مِنْ جُرَيْجٍ فَأَتَوْهُ وَكَسَرُوا صَوْمَعَتَهُ فَأَنْزَلُوهُ وَسَبُّوهُ فَتَوَضَّأَ وَصَلَّى ثُمَّ أَتَى الْغُلَامَ فَقَالَ مَنْ أَبُوكَ يَا غُلَامُ قَالَ الرَّاعِي قَالُوا نَبْنِي صَوْمَعَتَكَ مِنْ ذَهَبٍ قَالَ لَا إِلَّا مِنْ طِينٍ

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Bersabda Rasulullah s.a.w: “Ada seorang lelaki daripada Bani Israel bernama Juraij,(suatu hari) dia sedang bersolat lalu datang ibunya memanggilnya tetapi dia enggan menjawab. Dia (Juraij) berkata: ‘Aku menjawab atau meneruskan solat?!’ Kemudian ibunya datang lalu berdoa: ‘Ya Allah, janganlah engkau matikan Juraij sehingga dia melihat wajah penzina’. Sedang Juraij berada dalam biaranya berkata seorang wanita (pelacur): ‘Aku akan menimbulkan fitnah pada Juraij’. Lalu dia datang menggoda Juraij tetapi gagal dan dia pergi pula menggoda seorang penggembala sehingga berjaya dan melahirkan seorang anak. Dia (pelacur) menghebohkan anak itu hasil zinanya dengan Juraij. Lau penduduk kampung menyerang Juraij, merobohkan biaranya, mengeluarkannya dari situ dan mencercanya. Juraij berwudhu’ dan bersolat (setelah selesai) dia datang kepada bayi itu dan bertanya: ‘Siapakah bapamu wahai bayi?’ Kata bayi itu: ‘si pengembala’. Lalu penduduk kampung berkata: ‘kami akan bina semula biaramu daripada emas’. Juraij menjawab: ‘Tidak, cukuplah dari tanah sahaja”-[al-Bukhari, Muslim, Ahmad].

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan dinisbahkan kalimah bapa kepada anak zina tersebut dengan penzina. Mengikut qaedah: ‘Asal sesuatu kalimah adalah haqiqat’ , jika penzina itu bukan bapa kepada anak hasil zinanya tentulah tidak digunakan kalimah bapa di sini. Berkata Ibn Hajar al-Asqalani r.h:

وَاسْتَدَلَّ بَعْض الْمَالِكِيَّة بِقَوْلِ جُرَيْجٍ ” مَنْ أَبُوك يَا غُلَام ” بِأَنَّ مَنْ زَنَى بِامْرَأَةِ فَوَلَدَتْ بِنْتًا لَا يَحِلّ لَهُ التَّزَوُّج بِتِلْكَ الْبِنْت خِلَافًا لِلشَّافِعِيَّةِ وَلِابْنِ الْمَاجِشُونِ مِنْ الْمَالِكِيَّة . وَوَجْه الدَّلَالَة أَنَّ جُرَيْجًا نَسَبَ اِبْن الزِّنَا لِلزَّانِي وَصَدَّقَ اللَّه نِسْبَته بِمَا خَرَقَ لَهُ مِنْ الْعَادَة فِي نُطْق الْمَوْلُود بِشَهَادَتِهِ لَهُ بِذَلِكَ ، وَقَوْله أَبِي فُلَان الرَّاعِي ، فَكَانَتْ تِلْكَ النِّسْبَة صَحِيحَة فَيَلْزَم أَنْ يَجْرِي بَيْنهمَا أَحْكَام الْأُبُوَّة وَالْبُنُوَّة ، خَرَجَ التَّوَارُث وَالْوَلَاء بِدَلِيل فَبَقِيَ مَا عَدَا ذَلِكَ عَلَى حُكْمه

Maksudnya : “dan sebahagian ulamak maliki berdalilkan perkataan Juraij: ‘siapakah bapamu wahai bayi?’ bahawa sesiapa yang berzina dengan seorang wanita lalu dia melahirkan anak perempuan, tidak boleh dia berkahwin pula dengan anak perempuan tersebut bersalahan dengan pendapat mazhab syafii dan ibn Amjisyun dari Malikiyyah. Wajah dilalahnya adalah Juraij menasabkan anak zina itu kepada penzina dan Allah membenarkan tindakan Juraij itu dengan dijadikan bagi Juraij perkara yang menyalahi adat apabila bayi itu bercakap dan demikian juga ucapan bayi itu,’bapaku adalah si fulan si pengembala’ adalah nasab yang sahih maka wajib melaksanakan hukum-hakam anak dan bapa antara keduanya kecuali hukum waris dan wali kerana ada dalil maka kekal lah selain itu atas hukumnya”.[Fathul Bari,10/239].

Perktaan Ibn Hajar ini memberi faedah bahawa di sana ada ulamak yang berpendapat anak zina itu dinasabkan kepada bapanya tetapi dikecualikan hukum pewarisan dan perwalian berdasarkan dalil-dalil hadis yang kita utarakan sebagai hadis al-Bab dalam kertas kerja ini. Namun, kita telah sebutkan sebahagian tabiin melaksanakan hukum anak zina ini seperti anak yang sah juga dalam masalah pusaka dan perwalian jika dia berkahwin dengan ibu anaknya dari zina.

2- Hadis-hadis yang menyatakan tidak dihubungkan nasab anak zina kepada penzina hanya berlaku dalam kes-kes di mana ibu anak tersebut adalah firash (isteri orang) dan tidak ada nas yang jelas tentang nasab anak zina yang ibunya bukan firash (bukan isteri orang), maka kembali kepada asal anak itu adalah yang datang daripada sulbi seorang lelaki. Jika diteliti hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh mereka yang melarang dinasabkan anak zina kepada penzina ternyata mereka keliru. Jikalaulah anak zina tidak boleh dinasabkan kepada penzina tentulah Utbah bin Abi Waqqas tidak akan menuntut nasab Abdul Rahman bin Zam’ah demikian juga dalam hadis yang kedua, tentulah para penzina tidak akan berebut nasab anak zina mereka dengan tuan-tuan sahaya yang mereka zinai. Berkata Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah:

فَإِنْ قِيلَ فَقَدْ دَلّ الْحَدِيثُ عَلَى حُكْمِ اسْتِلْحَاقِ الْوَلَدِ وَعَلَى أَنّ الْوَلَدَ لِلْفِرَاشِ فَمَا تَقُولُونَ لَوْ اسْتَلْحَقَ الزّانِي وَلَدًا لَا فِرَاشَ هُنَاكَ يُعَارِضُهُ هَلْ يَلْحَقُهُ نَسَبُهُ وَيَثْبُتُ لَهُ أَحْكَامُ النّسَبِ ؟ قِيلَ هَذِهِ مَسْأَلَةٌ جَلِيلَةٌ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِيهَا فَكَانَ إسْحَاقُ بْنُ رَاهْوَيْهِ يَذْهَبُ إلَى أَنّ الْمَوْلُودَ مِنْ الزّنَى إذَا لَمْ يَكُنْ مَوْلُودًا عَلَى فِرَاشٍ يَدّعِيهِ صَاحِبُهُ وَادّعَاهُ الزّانِي أُلْحِقَ بِهِ وَأُوّلَ قَوْلِ النّبِيّ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ عَلَى أَنّهُ حَكَمَ بِذَلِكَ عِنْدَ تَنَازُعِ الزّانِي وَصَاحِبِ الْفِرَاشِ كَمَا تَقَدّمَ وَهَذَا مَذْهَبُ الْحَسَنِ الْبَصْرِيّ رَوَاهُ عَنْهُ إسْحَاقُ بِإِسْنَادِهِ فِي رَجُلٍ زَنَى بِامْرَأَةِ فَوَلَدَتْ وَلَدًا فَادّعَى وَلَدَهَا فَقَالَ يُجْلَدُ وَيَلْزَمُهُ الْوَلَدُ وَهَذَا مَذْهَبُ عُرْوَةَ بْنِ الزّبَيْرِ وَسُلَيْمَانُ بْنُ يَسَارٍ ذَكَرَ عَنْهُمَا أَنّهُمَا قَالَا : أَيّمَا رَجُلٍ أَتَى إلَى غُلَامٍ يَزْعُمُ أَنّهُ ابْنٌ لَهُ وَأَنّهُ زَنَى بِأُمّهِ وَلَمْ يَدّعِ ذَلِكَ الْغُلَامَ أَحَدُ فَهُوَ ابْنُهُ وَاحْتَجّ سُلَيْمَانُ بِأَنّ عُمَرَ بْنَ الْخَطّابِ كَانَ يُلِيطُ أَوْلَادَ الْجَاهِلِيّةِ بِمَنْ ادّعَاهُمْ فِي الْإِسْلَام وَهَذَا الْمَذْهَبُ كَمَا تَرَاهُ قُوّةً وَوُضُوحًا وَلَيْسَ مَعَ الْجُمْهُورِ أَكْثَرُ مِنْ الْوَلَدِ لِلْفِرَاشِ وَصَاحِبُ هَذَا الْمَذْهَبِ أَوّلُ قَائِلٍ بِهِ وَالْقِيَاسُ الصّحِيحُ يَقْتَضِيهِ فَإِنّ الْأَبَ أَحَدُ الزّانِيَيْنِ وَهُوَ إذَا كَانَ يُلْحَقُ بِأُمّهِ وَيُنْسَبُ إلَيْهَا وَتَرِثُهُ وَيَرِثُهَا وَيَثْبُتُ النّسَبُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَقَارِبِ أُمّهِ مَعَ كَوْنِهَا زَنَتْ بِهِ وَقَدْ مَاءِ الزّانِيَيْنِ وَقَدْ اشْتَرَكَا فِيهِ وَاتّفَقَا عَلَى أَنّهُ ابْنُهُمَا فَمَا الْمَانِعُ مِنْ لُحُوقِهِ بِالْأَبِ إذَا لَمْ يَدّعِهِ غَيْرُهُ ؟ فَهَذَا مَحْضُ الْقِيَاسِ …

Maksudnya : “Jika dikatakan hadis ini (al-walad lil firash) adalah untuk hukum menasabkan anak jika ibunya itu firash maka bagaimana pula jika seorang penzina menuntut nasab anak yang ibunya bukan firash (tidak ada pertindihan tuntutan) adakah anak itu dinasabkan kepada penzina? Maka dikatakan ini adalah masalah yang sangat halus telah berbeza pandangan ahli ilmu padanya, Ishaq bin Rahuwaih r.h berpendapat jika anak zina itu ibunya bukan firash dan penzina menuntut nasabnya pada anak tersebut maka dihubungkan nasabnya dan ditakwilkan maksud hadis Nabi s.a.w: “anak itu untuk hamparan”, adalah dilaksanakan apabila bertelagah antara penzina dengan empunya firash (suami atau tuan sahaya) seperti yang telah disebutkan. Ini juga adalah mazhab al-Hasan al-Basri debsgsimsn ysng diriwayatkan Ishaq dengan sanadnya berkenaan lelaki yang berzina kemudian wanita yang dizinainya melahirkan anak dan dia mengaku itu anaknya hendaklah (menurut al-Hasan al-Basri) disebat lelaki itu dan anak itu dinasabkan padanya.Ini juga mazhab Urwah bin az-Zubair dan Sulaiman bin Yasar, keduanya berkata: ‘Sesiapa yang mendakwa seseorang budak sebagai anaknya dan dia berzina dengan ibu budak itu dan tidak ada orang lain yang turut mendakwa demikian maka budak itu adalah anaknya. Sulaiman berhujjah dengan perbuatan Umar bin al-Khattab r.a menasabkan anak-anak Jahiliyyah (hasil zina) dengan bapa yang mengaku sebagai penzina (yang menghasilkan anak-anak itu) setelah Islam. Mazhab ini adalah kuat dan jelas sebagaimana yang kamu lihat dan tidak ada dalil bagi Jumhur melainkan hadis ‘anak itu untuk hamparan’, sedangkan mazhab itu telah pun berdalil dengan hadis tersebut (dan mentafsirkan hadis itu dengan lebih jelas) dan qias yang sahih menyokong pendapat ini kerana bapa adalah salah seorang penzina (yang menghasilkan anak tersebut), jika anak itu dinasabkan pada ibunya dan berlaku hukum pusaka antara dia dan keluarga ibunya sedangkan dia (ibu anak zina itu) juga telah berzina dan air mani keduanya telah bercampur (dalam kejadian anak tersebut) dan kedua mereka (ibu dan bapa dari zina) mengaku budak itu sebagai anak mereka maka apakah yang menghalang daripada dinasabkan budak tersebut kepada bapa dari zina jika tiada pihak lain mendakwa nasabnya? Ini adalah persoalan qias sahaja…”-[al-Jawziyyah,Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad fi Hadyi Khairil Ibad,5/381-382]

Kemudian beliau berdalilkan dengan hadis berkenaan peristiwa Juraij di atas.

3- Demikian lagi ulamak telah sepakat (Jumhur) anak zina adalah mahram kepada bapanya. Sebab menjadi mahram itu sama ada nasab, musaharah (persemendaan) atau radha’ah (penyusuan). Telah pasti sebab mahramnya anak zina dengan bapanya si penzina bukan kerana musaharah atau radha’ah(penyusuan) maka kekal lah asal sebab mahramnya anak zina dengan nasab iaitu dia bernasab kepada bapanya yang berzina dengan ibunya [Ibn Kathir, Abul Fida' Ismail, Tafsir al-Quran al-Azim,2/248]. Pendapat jumhur yang mengatakan anak zina tidak mewarisi harta bapanya dari zina tidak menafikan nasab anak tersebut kepada bapanya. Imam Ibn al-Qayyim menyatakan :

وَأَنَّ الْأَحْكَامَ تَتَبَعَّضُ فِي الْعَيْنِ الْوَاحِدَةِ عَمَلًا بِالِاشْتِبَاهِ كَمَا تَتَبَعَّضُ فِي الرَّضَاعَةِ ، وَثُبُوتُهَا يَثْبُتُ بِهَا الْحُرْمَةُ وَالْمَحْرَمِيَّةُ دُونَ الْمِيرَاثِ وَالنَّفَقَةِ ، وَكَمَا فِي وَلَدِ الزِّنَا ، هُوَ وَلَدٌ فِي التَّحْرِيمِ ، وَلَيْسَ وَلَدًا فِي الْمِيرَاثِ ، وَنَظَائِرُ ذَلِكَ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ تُذْكَرَ

Maksudnya : “dan hukum-hukum itu terbahagi-bahagi dalam satu masalah yang sama beramal dengan kesamaran yang berlaku (dalam kes itu) seperti berbezanya hukum dalam hal penyusuan di mana susuan itu menetapkan mahram kepada anak susuan dengan bapa susuan tanpa menetapkan hukum warisan dan nafkah, maka demikian juga dalam kes anak zina di man dia mahram pada ayahnya dari zina dan tidak berlaku pula hukum warisan antara keduanya dan misalnya banyak lagi untuk disebut”-[al-Jawziyyah,Ibn al-Qayyim, Iklamul Muwaqqiin an Rabbil Alamin, 6/2]


KESIMPULAN
1- Ulamak bersepakat bahawa anak yang didakwa anak zina jika dia dilahirkan dalam tempoh ibunya mempunyai suami dan tempoh kelahirannya memungkinkan proses kehamilan dan melahirkan daripada suami dia dihubungkan kepada suami ibunya.

2- Ulamak berbeza pendapat jika jelas anak itu anak zina :
- Anak zina tidak dinasabkan kepada bapa zina tetapi dia adalah mahram kepada ayahnya. Tidak berlaku hukum pewarisan antara keduanya. Inilah qaul Jumhur

- Anak zina tidak dinasabkan pada ayahnya dari zina dan dia bukan mahram kepada ayahnya dan tidak berlaku hukum faraidh. Ini Qaul Syafiiyyah.

- Anak zina dinasabkan pada bapanya tetapi tidak berlaku hukum pewarisan sebagimana yang disebut oleh ibn Hajar al-Asqalani bahawa ini pendapat al-Malikiyyah.

- Anak zina dinasabkan kepada bapanya secara syar’i dan berlaku segala hukum seperti anak yang sah taraf juga. Ini adalah pendapat al-Hasan al-Basri, Sulaiman bin Yasar, Ishaq bin Rahuwaih, Urwah bin az-Zubair, Ibn Taimiyyah sebagaimana disebut dalam Ikhtiyarat Ilmiyyah, dan salah satu pandangan Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah.


Tarjih
Penulis lebih cenderung untuk merajihkan pendapat yang keempat kerana tidak ada nas-nas yang sahih berkenaan masalah ini dan jika adapun adalah dalam bentuk dilalah yang zhanni sahaja. Maka kembali berpegang kepada qaedah asal, anak adalah hasil sulbi seorang lelaki dikekalkan hukum nasab kepada bapanya dari zina. Wallahuaklam.


Syor
Saya mengesyorkan supaya Jawatankuasa ini memfatwakan bahawa dinasabkan anak zina kepada bapanya (si penzina) yang telah berkahwin dengan ibunya dan dilaksanakan hukum hakam lainnya sebagai anak yang sah taraf. Mudah-mudahan pendapat ini mendekatkan kita kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang sebenar dan menyelesaikan masalah nasab anak zina di negara kita ini.Wallahuaklam.


Rujukan
Sunan Abi Daud dengan Takhrij al-Albani, Maktabah Syamilah
Sahih Muslim, Maktabah Syamilah
Sahih al-Bukahri, Maktabah Syamilah
Musnad Ahmad dengan Takhrij al-Arnauth, Maktabah Syamilah
Kementerian Waqf Kuwait, al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Maktabah Syamilah
Ibn Kathir, Abul Fida’ Ismail, Tafsir al-Quran al-Azim, Maktabah Syamilah
an-Nawawi,Abu Zakaria, Muhyiddin, Raudhah at-Tolibin wa Umdah al-Muftin,Maktabah Syamilah
al-Jawziyyah,Ibn al-Qayyim, Iklamul Muwaqqiin an Rabbil Alamin, Maktabah Syamilah.
al-Jawziyyah, Ibn al-Qayyim, Zadul Maad fi Hadyi Kahiril Ibad,Maktabah Syamilah
al-Azim al-Abadi, Aunul Makbud fi Syarhi Sunan Abi Daud, Maktabah Syamilah
al-Asqalani,Ibn Hajar, Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari,Maktabah Syamilah
az-Zuhaili,Dr., Wahbah, al-Fiqahul Islami wa Adillatuh,Maktabah Syamilah


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SUMBER : FATWA | PORTAL RASMI JABATAN MUFTI NEGERI PERLIS
(http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=185:hukum-menasab-anak-zina-kepada-bapa-zina&catid=46:fatwa-ibadah&Itemid=123).]

SUMBER : PERLIS| PORTAL RASMI FATWA MALAYSIA- E-FATWA
(http://www.e-fatwa.gov.my/perlis)

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DISALIN & DISUNTING : Syeikh Ramzi al-Ghuraba'