بدأ الاسلام غريبا ، وسيعودغريبا كما بدأ ، فطوبى للغرباء
“Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti pada mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang terasing”
(H/R Imam Muslim,no.145)

Khamis, 13 Februari 2014

PENGERTIAN AS-SUNNAH MENURUT SYARI'AT. (RINGKASAN)

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد






PENGERTIAN AS-SUNNAH
------------------------------------------------------------
As-Sunnah menurut istilah syariat ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam bentuk qaul (ucapan), fi’il (perbuatan), taqrir (penetapan), sifat tubuh serta akhlak yang dimaksudkan dengannya sebagai tasyri’ (pensyari’atan) bagi umat Islam.[1]

Adapun hadis pula, menurut bahasa ialah sesuatu yang baru. Secara istilahnya ia sama dengan As-Sunnah menurut jumhur ulama.

Ada ulama yang menerangkan makna asal secara bahasa bahawa : Sunnah itu untuk perbuatan dan taqrir, adapun hadis untuk ucapan. 

Akan tetapi ulama sudah banyak melupakan makna asal bahasa dan memakai istilah yang sudah lazim digunakan, iaitu bahawa As-Sunnah muradif (sinonim) dengan hadis.

As-Sunnah menurut istilah ulama ushul fiqih ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi Shalallahu a'laihi wasallam selain dari Al-Quran, baik perbuatan, perkataan, taqrir (penetapan) yang baik untuk menjadi dalil bagi hukum syar’i.

Ulama ushul fiqih membahas dari segala yang disyari’atkan kepada manusia sebagai undang-undang kehidupan dan meletakkan kaedah-kaedah bagi perundangan-perundangan tersebut.

As-Sunnah menurut istilah ahli fiqih (fuqaha’)pula ialah segala sesuatu yang sudah tetap dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam dan hukumnya tidak fardhu dan tidak wajib, yakni hukumnya sunnah.[2]

As-Sunnah menurut ulama Salaf adalah petunjuk yang dilaksanakan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dan para Sahabatnya Ridhwanullaah ‘alaihim ajma’iin, baik tentang ilmu, i’tiqad (keyakinan), perkataan mahupun perbuatannya.[3]


Contoh-contoh dari definisi Sunnah yang dibawakan oleh ahli hadis antara lainnya :

1. Hadis qauli (Sunnah dalam bentuk ucapan) ialah segala ucapan Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam yang ada hubungannya dengan tasyri’, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam :

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

“Di antara kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat baginya.” 
[HR. At-Tirmidzi (no. 2317), Ibnu Majah (no. 3976), Ibnu Hibban (Ta’liiqatul Hisaan ‘ala Shahiih Ibni Hibban no. 229), hadis ini hasan.]

2. Hadis fi’li (Sunnah yang berupa perbuatan) ialah segala perbuatan Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam yang diberitakan oleh para Sahabatnya tentang wudhu’, solat, haji, dan selainnya.

Contohnya :

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ: أَنَّ النَّبِيَّصَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُخَلِّلُ لِحْيَتَهُ

“Dari ‘Utsman bin ‘Affan bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam (apabila berwudhu’), beliau menyela-nyela janggutnya.”
[HR. At-Tirmidzi (no. 31), Ibnu Majah (no. 430), Shahih Ibni Majah (no. 345), al-Hakim (I/149) dan al-Hakim berkata, “Sanadnya shahih.” At-Tirmidzi berkata: “Hasan shahih.” Lihat Shahih Ibni Majah (no. 344) dari Shahabat ‘Ammar bin Yasir.]

3. Hadits taqriri ialah segala perbuatan Sahabat yang diketahui oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam dan beliau membiarkannya (sebagai tanda setuju) dan tidak mengingkarinya.Contohnya :

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِبِلاَلٍ عِنْدَ صَلاَةِ الصُّبْحِ: يَا بِلاَلُ! حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي اْلإِسْلاَمِ فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الْجَنَّةِ، قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِيْ أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُوْراً فِي سَاعَةٍ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُوْرِ
 مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ

“Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda kepada Bilal setelah selesai solat Subuh, ‘Wahai Bilal, khabarkanlah kepadaku sebaik-baik amalan yang telah engkau kerjakan dalam Islam, kerana aku telah mendengar suara terompahmu di dekatku di Syurga?’ Ia menjawab, ‘Sebaik-baik amal yang aku kerjakan ialah, bahawa setiap kali aku berwudhu’ siang atau malam mesti dengan wudhu’ itu aku solat (sunnah) beberapa rakaat yang dapat aku laksanakan.”
[HR. Al-Bukhari (no. 1149) dan Muslim (no. 2458), dari Sahabat Abu Hurairah Radhiallahu anhu.]

Atau kisah dua Sahabat yang melakukan safar, keduanya tidak dapat menjumpai air untuk berwudhu’, sedangkan waktu solat sudah tiba, lalu keduanya bertayammum dan mengerjakan solat, kemudian setelah selesai solat mereka dapat menjumpai sumber air, sedang waktu solat masih ada, maka salah seorang dari keduanya mengulangi wudhu’ dan solatnya, kemudian keduanya mendatangi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dan menceritakan kejadian itu. Lalu Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda kepada Sahabat yang tidak mengulangi solatnya, “Engkau telah berbuat sesuai dengan Sunnah.” Dan kepada yang seorang lagi itu (Sahabat yang mengulangi solatnya), Baginda bersabda, “Engkau mendapatkan dua ganjaran.”
[HR. Abu Daud (no. 338-339), an-Nasa-i (I/213) dari Abu Sa’id al-Khudri Radhiallahu anhu. Lihat Shahih Sunan Abu Daud (no. 366), cet. I/ Ghar-raas, th. 1423 H.]

Di antara makna Sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah sebagaimana yang difahami oleh para Sahabat dan Salaf as-Soleh Ridhwanullaah ‘alaihim ajma’iin adalah sebagai sumber kedua setelah Al-Quranul Karim.

Sering kita menyebut Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, maksudnya adalah Sunnah sebagai sumber nilai tasyri’ (pensyari’atan). Al-Qur-an menyifatkan As-Sunnah dengan makna hikmah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Ya Rabb kami, utuslah kepada mereka seorang Rasul di antara mereka yang akan membacakan ayat-ayat-Mu kepada mereka dan mengajarkan Al-Kitab dan Al-Hikmah kepada mereka dan mensucikan mereka (dari kelakuan-kelakuan yang keji), sesungguhnya Engkau Maha Mulia lagi Maha Bijaksana.” 
[Al-Baqarah: 129]

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

“Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia bagi orang-orang yang beriman, ketika Dia mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya dan membersihkan mereka (dari sifat-sifat jahat), dan mengajarkan Al-Kitab (Al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata.”
[Ali ‘Imran: 164]

وَأَنزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُن تَعْلَمُ ۚ وَكَانَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا...

“... Dan Allah telah menurunkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah dan mengajarkanmu apa-apa yang tidak kamu ketahui. Dan kurnia Allah kepadamu amat besar.” 
[An-Nisaa’: 113]

وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَىٰ فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَالْحِكْمَةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا

“Sebutlah apa-apa yang dibacakan dalam rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah, sesungguhnya Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.” 
[Al-Ahzaab: 34]

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

“Dialah yang mengutus kepada umat yang ummi seorang Rasul dari antara mereka yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya. Yang membersihkan mereka dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata.” 
[Al-Jumu’ah: 2]


Maksud penyebutan Al-Kitab pada ayat-ayat di atas adalah Al-Quran. Dan yang dimaksudkan dengan Al-Hikmah pula adalah As-Sunnah.

Imam asy-Syafi’i rahimahullah berkata (maksudnya) :  “Allah menyebut al-Kitab, yang dimaksud adalah Al-Quran dan menyebut Al-Hikmah. Aku mendengar di negeriku dari para ahli ilmu yang memahami Al-Quran berkata, bahawa Al-Hikmah adalah As-Sunnah.”.[4]

Qatadah rahimahullah berkata, “Yang dimaksud Al-Hikmah adalah As-Sunnah.” Begitu pula penjelasan dari al-Hasan al-Bashri.[5]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu...” 
[An-Nisaa’: 59]

Al-Hafizh Ibnu Katsir rahimahullah berkata, “Taat kepada Allah dengan mengikuti Kitab-Nya dan taat kepada Rasul adalah mengikuti dan As-Sunnah.”. [Tafsir Ibnu Katsir (I/568)]

Manakala Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata (maksudnya) : “Banyak dari Salaf as-Soleh berkata bahawa Al-Hikmah adalah As-Sunnah.”. Kerana sesungguhnya yang dibaca di rumah-rumah isteri Nabi Shalallahu a'laihi wasallam selain Al-Quran adalah Sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, Baginda bersabda:

أَلاَ إِنِّي أُوْتِيْتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ

“Ketahuilah, sesungguhnya aku diberikan Al-Kitab dan yang sepertinya bersamanya.”
[HR. Abu Daud (no. 4604) dan Ahmad (IV/131). Shahih]

Hasan bin Athiyyah rahimahullah berkata (maksudnya) : “Jibril Alaihissallam turun kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam membawa As-Sunnah sebagaimana Al-Quran. Mengajarkan As-Sunnah itu sebagaimana ia mengajarkan Al-Quran.” [Fatawaa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (III/366).]


وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَىٰ فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِ وَالْحِكْمَةِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا

"Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (Sunnah Nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.". 
(Al-Ahzab: 34). [6]

Para Salaf as-Soleh memberi makna As-Sunnah dengan agama dan syari’at yang dibawa oleh Rasul Shallallahu 'alaihi wa sallam secara mutlak dalam masalah ilmu dan amal, dan apa-apa yang diterima oleh para Salaf as-Soleh dalam bidang aqidah mahupun furu’.

Ini jelas dari perkataan Khalifah Abu Bakar Radhiallahu anhu yang berkata (maksudnya) : “Sunnah itu adalah tali Allah yang kuat.”. [7]

‘Abdullah bin ad-Dailamy rahimahullah (dari pembesar Tabi’in) berkata, “Telah sampai kepadaku bahawa awal hilangnya agama ini adalah kerana manusia meninggalkan As-Sunnah.” [Sunan ad-Darimi (I/45)].

Melalui firman Allah Azza wa Jalla : 

.. ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا

“Kemudian kami jadikan kamu di atas syari’at dari perintah, maka ikutilah...” 
[Al-Jaatsiyah: 18]

Imam al-Lalika-i membawakan penafsiran ayat: diatas (maskudnya) : “Yakni engkau berada di atas Sunnah.” [15]


AS-SUNNAH ADALAH SUMBER HUKUM 
------------------------------------------------------------
Umat Islam sejak zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam meyakini bahawa As-Sunnah merupakan sumber ajaran Islam di samping Al-Qur-an. Bahkan As-Sunnah adalah wahyu sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam:

أَلاَ إِنِّيْ أُوْتِيْتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ, أَلاَ إِنِّيْ أُوْتِيْتُ الْقُرْآنَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ... 
(أخرجه أحمد 4/131 ولآجرّى في الشريعة 1/415 رقم 97 وغيرهما بإسناد صحيح)

“Ketahuilah sesungguhnya aku diberi Al-Kitab (Al-Quran) dan yang sepertinya bersamanya. Ketahuilah sesungguhnya aku diberi Al-Qur-an dan yang sepertinya bersamanya.” 
[Hadis shahih riwayat Ahmad (IV/131), al-Ajurri dalam kitabnya asy-Syari’ah (I/415 no. 97) dan selain keduanya. Dari Sahabat al-Miqdam bin Ma’di Kariba al-Kindi.] 

Maksud dari kalimat: “Dan seperti itu bersamanya” adalah As-Sunnah.

Al-Imam Abu Muhammad ‘Ali bin Ahmad bin Sa’id bin Hazm azh-Zohiri, yang terkenal dengan nama Ibnu Hazm (wafat th. 456 H) berkata (maksudnya), “Sesungguhnya Allah telah berfirman:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” 
[Al-Hijr: 9]

Kandungan dari ayat diatas ini adalah bagi orang yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari Akhir(kiamat) bahawasanya Allah menjamin terpeliharanya Al-Quran dan tidak akan hilang selamanya. Hal ini tidak diragukan sedikit pun oleh seorang muslim dan begitu pula sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, semuanya adalah WAHYU, berdasarkan firman Allah:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).”
[An-Najm: 3-4]

Wahyu adalah Adz-Zikr dengan kesepakatan seluruh umat Islam, dan Adz-Zikr terpelihara dengan nash Al-Quran, maka sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam terpelihara dan pasti dijaga Allah Subhanahu wa Ta'ala. [Al Ihkam fii Ushulil Ahkam (I/96, 207) cet. Darul Kutul al-Ilmiyah.]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

“Keterangan-keterangan (mukjizat) dan Kitab-Kitab. Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka. Dan supaya mereka memikirkan.”
[An-Nahl: 44]

Ibnu Hazm rahimahullah berkata (maksudnya) : “Dengan demikian, benarlah sabda Rasululah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang menyangkuti urusan agama merupakan wahyu dari Allah Ta’ala. Para pakar bahasa Arab dan Ahli Fiqih tidak berselisih bahawa setiap wahyu yang diturunkan oleh Allah merupakan Adz-Dzikra (peringatan). Oleh kerana itu, setiap wahyu adalah sesuatu yang pasti dipelihara oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan yakin. Semua yang dijamin oleh Allah dengan penjagaan-Nya, terjamin pula dari kepunahan dan tidak akan berubah satu pun darinya dan tidak ada yang membatalkannya. Jika wahyu tidak terjaga, nescaya firman Allah Ta’ala dan janji-Nya adalah sesuatu yang dusta dan jaminan-Nya sia-sia. Hal ini (tidak mungkin terjadi) dan tidak sedikit pun terlintas di benak orang yang berakal. Oleh kerana itu, merupakan suatu kepastian bahawa segala sesuatu yang disampaikan oleh Rasululah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang berkaitan dengan masalah agama adalah terpelihara (terjaga) dengan pemeliharaan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala dan disampaikan sebagaimana adanya kepada mereka selama-lamanya sampai hancurnya dunia. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

...وَأُوحِيَ إِلَيَّ هَٰذَا الْقُرْآنُ لِأُنذِرَكُم بِهِ وَمَن بَلَغَ...

“… Dan al-Qur-an ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai al-Quran (kepada-nya)...” 
[Al-An’aam: 19]

Jadi kita dapat mengetahui bahawa semua sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah sesuatu yang terjaga sepanjang waktu, tidak mungkin ada sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang hilang dalam masalah agama, dan tidak mungkin pula tersamar (bercampur) antara hadis yang palsu dan yang shahih. Kalau terjadi demikian berarti Adz-Dzikru tersebut tidak terjaga dan firman Allah Ta’ala : إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُوْنَ adalah bohong dan janji palsu. Hal ini tidak mungkin diucapkan oleh seorang muslim.

Jika ada seseorang mengatakan bahawa yang dijamin oleh Allah terpelihara adalah Al-Qur-an sahaja dan bukan semua wahyu yang diturunkan selain Al-Quran, maka kami menjawab, “Kami mohon taufiq dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tuduhan itu adalah bohong, tidak ada bukti sama sekali dan pengkhususan bahawa yang dimaksud Adz-Dzikra hanya Al-Quran sahaja, itupun tidak ada dalilnya. Maka dakwaan mereka itu adalah bathil.”

ۗ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ...

“... Katakanlah: ‘Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.”
[Al-Baqarah: 111]

Oleh kerana itu, orang yang tidak punya bukti atas dakwaannya, maka ia tidak benar dan tidak boleh dipercayai.

Kalimat Adz-Dzikr mencakup semua yang diturunkan Allah kepada Nabi-Nya Shallallahu 'alaihi wa salam, baik berupa Al-Quran mahupun As-Sunnah, kerana As-Sunnah sebahagian wahyu yang telah dijelaskan oleh Al-Quran : 

وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَانُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُوْنَ . Dalam ayat ini Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam diperintahkan oleh Allah untuk menjelaskan Al-Quran kepada manusia. Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang bersifat mujmal (global), jika As-Sunnah tersebut tidak terjaga dan tidak terpelihara, nescaya ayat-ayat Al-Quran tidak bermanfaat, bahkan boleh menjadi batal sebahagian besar dari kewajiban-kewajiban agama yang dibebankan kepada manusia?! Jika demikian, maka kita tidak mampu membezakan antara yang benar dari firman Allah dan yang salah dalam menafsirkannya atau orang yang sengaja berbohong. Semua ini mustahil terjadi pada Allah Subhanahu wa Ta'ala. [Al-Ihkam fii Ushulil Ahkam (I/117-118).] 

Di antara dalil lain yang menegaskan bahawa As-Sunnah sebagai sumber hukum, bahawasanya Allah Ta’ala telah menjadikan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam sebagai penutup seluruh Nabi dan Rasul dan syari’atnya sebagai penutup syari’at sebelumnya. Maka Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mewajibkan kepada manusia untuk beriman dan mengikuti segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam hingga hari Kiamat. Semua ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjadikan syari’at yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam sebagai syari’at yang abadi dan terpelihara. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mewajibkan bagi setiap muslim bila berselisih tentang sesuatu untuk kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah Azza wa Jalla : 

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“... Dan jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” 
[An-Nisaa': 59]

Imam Mujahid, Qatadah, Maimun bin Mihran dan ulama Salaf  yang lainnya, ketika menafsirkan ayat ini : “Kembali kepada Allah, iaitu mengembalikan kepada Al-Quran dan kembali kepada Rasul iaitu mengembalikan persoalan yang diperselisihkan kepada As-Sunnah.[9]

Dengan itu, semua Sunnah yang datang dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah upaya atau petunjuk untuk menjelaskan Al-Quran. Tidak ada satu pun yang samar atau tersembunyi dari semua penjelasan yang diperlukan manusia dalam kehidupan dunia dan akhirat, melainkan Baginda telah jelaskan, ini menunjukkan bahawa agama Islam sudah sempurna. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 ...الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ...

“…Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuridhai Islam itu jadi agama bagimu…” 
[Al-Maa-idah: 3]

Para Sahabat Ridhwanullaah ‘alaihim ajma’iin telah memberi kesaksian atas hal itu ketika peristiwa Hajjatul Wada’, dimana Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam sendiri meminta mereka memberikan kesaksian, bahawa Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam sudah menyampaikan seluruh risalah. Tidak ada satu pun yang Baginda tidak sampaikan. Semua sudah disampaikan, apa sahaja yang membawa manusia ke Syurga sudah dijelaskan oleh Baginda, dan apa saja yang membawa manusia ke Neraka sudah Baginda jelaskan juga. 

Oleh kerana itu, hilangnya satu bahagian dari Sunnah Rasul sama buruknya dengan hilangnya satu bahagian dari Al-Quran. Sehingga umat Islam sepanjang sejarah telah berusaha sekuat tenaga untuk menjaga dan memelihara As-Sunnah. Ini jelas apabila dilihat segala usaha dan upaya para Sahabat Radhiallahu anhum serta para ulama Ahli Hadis dalam menjaga As-Sunnah, ini dapat diringkas sebagai berikut :

Pertama : Para Sahabat yang mulia Radhiallahu anhum yang langsung menerima hadis dari Rasululah Shallallahu 'alaihi wa sallam bahkan yang tidak sempat hadir, mereka akan bertanya kepada yang hadir dan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam memerintahkan para Sahabat untuk menyampaikan As-Sunnah. Baginda bersabda:

نَضَّرَ اللهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيْثًا فَبَلَّغَهُ كَمَا سَمِعَ فَرُبَّ مُبَلَّعٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ. (رواه التّرمذى رقم 2657 وابن حبان رقم 74 وغيره. عن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه وقال التّرمذى: هذا حديث حسن صحيح)

“Allah akan memberikan cahaya kepada wajah seseorang yang mendengarkan ucapanku, lalu ia menyampaikannya sebagaimana yang ia dengar. Maka boleh jadi di antara yang disampaikan kepada mereka itu ada yang lebih mengerti daripada yang mendengarkan (langsung dariku).” [10]

Kedua : Kesungguhan para Sahabat dalam menyampaikan Sunnah Rasulullah di samping mereka terus langsung mengamalkan apa-apa yang datang dari al-Quran dan As-Sunnah.

Ketiga : Ketelitian para Sahabat yang tinggi dalam menerima As-Sunnah, bahkan ada yang diminta untuk menjadi saksi.

Keempat : Kesungguhan para ulama sepanjang sejarah dalam mengumpulkan As-Sunnah dan ketelitian mereka dalam menerimanya, serta hafalan mereka yang luar biasa (matan dan sanadnya).

Kelima : Pengetahuan mereka yang mendalam tentang ehwal para perawi dan sikap kritis yang tinggi dalam menerima riwayat-riwayat mereka.

Keenam : Penyusunan ilmu al-Jarh wat Ta’dil (kriteria penerimaan dan penolakan hadis berdasarkan perawi-nya). Seperti al-Jarh wat Ta’dil oleh Ibnu Abi Hatim ar-Razy (wafat th. 327 H).

Ketujuh : Pengumpulan dan penyusunan ‘illat-‘illat (kecacatan) hadis dengan pembahasan yang lengkap. Seperti kitab ‘Ilal Imam ad-Daraquthni dan Imam at-Tirmidzi.

Kelapan : Penyusunan kitab-kitab untuk membezakan kedudukan hadis-hadis maqbul (yang dapat diterima) dengan hadis mardud (ditolak).

Kesembilan : Penyusunan kaedah-kaedah yang menjelaskan kriteria penerimaan atau penolakan sesuatu hadis dari pelbagai segi.

Kesepuluh : Penyusunan biografi para perawi hadis dengan pembahasan lengkap tentang berbagai hal yang berkaitan dengan kesamaran atau perbezaan atau persamaan dalam nama dan kuniyah(gelaran). Seperti kitab :

1. Tahdzibul Kamal fi Asma-ir Rijal oleh al-Hafizh Ja-maluddin Abul Hajjaj Yusuf bin ‘Abdirrahman al-Mizzi (wafat th. 742 H)

2. Tahdziib Tahdzibul Kamal oleh al-Hafizh Muhammad bin Ahmad bin ‘Utsman adz-Dzahabi (wafat 748 H)

3. Mizanul I’tidaal (4 jilid) oleh al-Hafizh Muhammad bin Ahmad bin ‘Utsman adz-Dzahabi.

4. Tahdzibut Tahdzib (12 jilid) oleh al-Hafizh Syihabud-din Abul Fadhl Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqa-lany (wafat th. 752 H)

5. Taqribut Tahdzib (2 jilid) oleh al-Hafizh Syihabuddin Abul Fadhl Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalany

6. Al-Kuna wal Asma’ oleh Abu Bisyr Muhammad bin Ahmad bin Hammad bin Sa’d al-Anshary ad-Daulaby (wafat th. 320 H), dan kitab-kitab lain, ratusan jilid kitab yang membahas tentang hal ihwal rawi.

Dengan penjelasan di atas, salah satu faktor terkuat yang memelihara keabsahan As-Sunnah adalah metodologi sanad dan kritik sanad. Ini merupakan keistimewaan tersendiri bagi umat ini yang tidak ditemukan pada umat-umat lain.

Kata ‘Abdullah Ibnul Mubarak (wafat th. 181 H) berkata : 

َاْلإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْلاَ اْلإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَاشَاءَ

“Sanad itu merupakan bahagian dari agama. Seandainya tidak ada sanad, nescaya siapa sahaja akan berkata menurut apa yang dikehendakinya.” [Muqaddimah Shahih Muslim] 

Manakal Imam an-Nawawi (wafat th. 676 H) mengulas perkataan di atas (maksudnya) : "bahawa bila sanad hadis itu dapat diterima, bila tidak shahih maka harus ditinggalkan. Dinyatakan hubungan hadis dengan sanadnya seperti antara hubungan haiwan dengan kakinya". [Shahih Muslim bi Syarah Imam an-Nawawi (I/88), cet. Darul Fikr.]

Maka jelaslah bahawa As-Sunnah adalah yang dimaksudkan ialah hadis-hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam yang SHAHIH dan secara ringkasnya sebagai kesimpulan , lihatlah perkataan dari Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (maksudnya) : “Sesungguhnya As-Sunnah itu adalah syari’at, yakni apa-apa yang disyari’atkan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya Shallallahu 'alaihi wa sallam dari agama (ini).” [Majmu’ Fataawaa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (IV/436)].

.وصلى الله على نبينا محمد وعلى آلــــــه وصحبه وسلم


Wallahua'lam.

(Sila layari youtube KMIHUMSS1 hingga KMIHUMSS11 , 
Tentang Kepentingan Mempelajari Ilmu Hadis Untuk Memahami Sunnah)

----------------------------------------------------------
Nota Kaki :

[1]. Qawaa’idut Tahdits (hal. 62), Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, Ushul Hadits, Dr. Muhammad ‘Ajjaj al-Khathib, cet. IV Darul Fikr 1401 H, Taisir Muthalahil Hadits (hal. 15), Dr. Mahmud ath-Thahhan.
[2]. Lihat kitab Irsyaadul Fuhuul asy-Syaukani (hal. 32), Fat-hul Baari (XIII/245-246), Mafhuum Ahlis Sunnah wal Jama’ah ‘inda Ahlis Sunnah wal Jamaa’ah (hal. 37-43).
[3]. Lihat pada buku penulis, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah (hal. 10).
[4]. Ar-Risaalah (hal. 78 no. (252)), tahqiq Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah.
[5]. Lihat Syarah Ushul I’tiqaad Ahlis Sunnah wal Jama’ah oleh Imam al-Lalikaaiy (I/78 no. 70-71), tahqiq Dr. Ahmad Sa’ad Hamdan.
[6]. Lihat kitab-kitab tafsir yang menafsirkan ayat diatas ini (Al-Ahzaab: 34) dalam Tafsir Ibnu Katsir dan lainnya dari tafsir Al-Quran bil ma’tsur.
[7]. Asy-Syahru wal Ibanah, Ibnu Baththah al-‘Ukbary (no. 49).
[8]. Syarah Ushul I’tiqaad Ahlis Sunnah wal Jama’ah oleh Imam al-Lalika-i (I/76-77 no. 66).
[9]. Lihat Tafsir Ibnu Jarir ath-Thabari (IV/154 no. 9884-9889), cet. I Darul Kutub al-‘Ilmiyah-Beirut 1412 H dan lihat juga Tafsir Ibnu Katsir (I/568), cet. Darus Salam.
[10]. Hadits riwayat at-Tirmidzi (no. 2657), Ibnu Hibban (no. 74), dan lainnya. Dari Shahabat ‘Abdullah bin Mas’ud z. At-Tirmidzi berkata: “Hadits ini hasan shahih.”


Sumber : Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas, Kitab Kedudukan As-Sunnah Dalam Syaria't.
Disalin & Disunting : al-Ghuraba',Syeikh Mohd Ramzi Razuwan.