بدأ الاسلام غريبا ، وسيعودغريبا كما بدأ ، فطوبى للغرباء
“Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti pada mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang terasing”
(H/R Imam Muslim,no.145)

Jumaat, 29 Mei 2015

LAMAN AL-GHURABA' : Hentikan Celaan Atas Kesilapan & Kelemahan Saudara/Saudari Se-Muslim Mu

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menutup pembahasan aqidah dalam risalahnya yang terkenal “Al Aqiidah al Waasithiyyah” dengan fasal yang membahas tentang akhlak yang mulia. Ini menunjukkan, bahawa seharusnya akhlak yang mulia menjadi perilaku kuat yang ada pada diri para penganut aqidah yang lurus. Namun dizaman kini, tidak dinafikan telah ada segelintir orang yang bersemangat, yang mengaku bermanhaj dan beraqidah lurus, namun apabila dilihat ternyata terselit akhlaknya yang buruk seperti gemar mencela, merendahkan, menghina dan suka memberi gelaran-gelaran buruk kepada sesama kaum muslimin. Kebelakangan ini, keindahan manhaj Salaf as-Soleh yang mulia ini mula tercoreng kerana sepak terajang perlakuan para pencela tersebut. 

Ajaibnya mereka menjadikan celaan-celaan yang dihamburkan itu seolah-olah ia sebahagian dari agama. Mereka tidak peduli kehormatan saudaranya terhina, gelar-menggelar buruk dan caci maki sangat ringan di lisan dan penulisan mereka tatkala membantah ataupun berhujjah, kononnya menegakkan kebenaran. Padahal, mencela dan menjatuhkan kehormatan orang lain sangat bertentangan dengan syara'. Kehormatan adalah satu dari lima dasar (al kulliyaatu al khams) manusia yang dijaga keutuhannya oleh syariat. Diantaranya dengan diharamkannya perbuatan mencela dan menghina sesama insan, tambahan pula sesama muslim.


LARANGAN MENCELA.

Firman Allah Ta'ala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan Barangsiapa yang tidak bertaubat, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim.” [al-Hujarat [49]: 11]

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ
“Sesungguhnya darah kalian, harta kalian dan kehormatan kalian haram atas kalian..” [H/R Bukhari & Muslim]

Dan lagi, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencela seorang muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya kekufuran.” (H/R Bukhari & Muslim)

Perbuatan mencela adalah termasuk juga bentuk menyakiti sesama insan.

Firman Allah Ta'ala :


وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, Maka Sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” [al-Ahzab [33]: 58]

Celaan dan hinaan semakin besar jika ia berupa tuduhan kepada seseorang dalam hal agamanya.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلاً بِالفِسْقِ أَوِ الكُفْرِ ، إِلاَّ ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ ، إنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كذَلِكَ
“Tidaklah seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan atau kekufuran, melainkan akan kembali kepadanya tuduhan tersebut jika yang dituduhnya tidak demikian.” [H/R Bukhari]

Dalam rangka mencegah perbuatan buruk ini, syara' juga menetapkan bahawa orang yang pertama mencela lebih besar dosanya dari dua orang yang saling mencela.

الْمُسْتَبَّانِ مَا قَالاَ فَعَلَى الْبَادِئِ مَا لَمْ يَعْتَدِ الْمَظْلُومُ
“Dua orang yang saling mencela, maka dosa yang dikatakan keduanya akan ditanggung oleh orang yang pertama kali memulainya, selama yang terzalimi tidak melampuai batas.” [H/R Muslim]

Sebagaimana menyakiti orang lain dengan tangan dilarang oleh syara', begitu pun kezaliman dengan lisan juga dilarang. Semakin seorang muslim jauh dari perbuatan tercela tersebut, akan semakin tingginya darjatnya dalam Islam.

Ketika Rasulullah ditanya siapakah muslim yang utama, beliau menjawab (maksudnya) :

“Iaitu orang yang selamat kaum muslimin dari tangan dan lisannya.” [H/R Bukhari Muslim]
(Lihat “Maqaashidu Asy Syarii’ah Al Islaamiyyah fil Muhaafadzah ‘alaa Dharuurati al ‘Ardh”, hal. 23-25, Karya Syaikh Dr. Sa’ad Asy Syatsry)


MENCELA KERANA BENAR ?
Para ulama' mengatakan, larangan mencela dalam dalil-dalil yang umum diatas dikecualikan jika orang yang dicelanya memang benar-benar memiliki sifat-sifat tercela dan terdapat maslahat di dalam mencelanya.

Imam al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah (maksudnya) :
“Hadis ini (larangan menuduh fasik dan kafir) menunjukkan barangsiapa yang berkata kepada orang lain “engkau fasik” atau “engkau kafir”, jika orang tersebut tidak demikian, maka yang berkata lebih berhak dengan sifat-sifat tersebut. Namun jika demikian keadaannya, sifat tersebut tidak kembali kepada si penuduh, kerana bererti ia benar dalam perkataannya. Akan tetapi, tidak menjadi fasik dan kafir bukanlah bererti ia bebas dari dosa dengan kata-katanya “engkau fasik” atau “engkau kafir”. Kerana dalam permasalahan ini ada perinciannya. Jika ia bermaksud untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan keadaannya, hal itu dibolehkan. Namun jika ia bermaksud untuk mencemuh, menebar keburukannya dan menyakitinya, maka hal itu tidak boleh. Kerana yang diperintahkan (pada asalnya) adalah menutupi aibnya, mengajarkannya dan menasihatinya dengan cara yang baik. Selama hal itu dapat dilakukan dengan cara yang lembut, tidak boleh baginya melakukan itu dengan cara kasar. Kerana itu akan menjadi sebab ia semakin menjadi-jadi dan terus dalam perbuatan itu, sebagaimana tabiat kebanyakan manusia yang kerap menjaga ya. Apalagi jika orang yang memerintahnya (menasihatinya) lebih rendah kedudukannya dari orang yang diperintah (dinasihati)". [Lihat Fathu al Baary: 10/381, Cet. al Maktabah as Salafiyyah]

Namun hendaknya diperhatikan, bahawa pengecualiaan ini tidak seharusnya dijadikan pokok (ushul). Pengecualian adalah pengecualian yang hanya dilakukan dalam keadaan dan situasi tertentu.

Pertama, dalam orang yang dicela memang benar-benar terdapat sifat tercela. Maka, ia tidak boleh mencela sebelum ia memastikan bahawa:

(1) Yang dilakukan oleh orang tersebut adalah benar-benar perbuatan tercela.

(2) Perbuatan itu benar-benar terjadi kepada orang tersebut.

Kedua, dengan mencelanya akan mendatangkan maslahat, baik untuk orang yang dicela atau dalam rangka menjelaskan kepada manusia keadaan buruk orang yang dicelanya itu. Maka, ia tidak boleh mencela sebelum ia benar-benar memastikan bahawa dengan mencelanya akan menimbulkan kemaslahatan, bukan mendatangkan mafsadah yang lebih besar. Oleh kerana itu, Allah melarang umat Islam mencela sesembahan-sesembahan orang musyrik, jika dengan mencelanya akan menimbulkan mafsadah yang lebih besar sehingga orang-orang musyrik mencela Allah.


وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” [al-An’am [6]: 108]


MENCELA BUKAN NASIHAT
Kenyataannya, para pencela yang mengatasnamakan agama dan “manhaj murni” itu kerap tidak mengendahkan aturan pengecualian diatas. Mereka sering kali mencela tanpa tastabbut dan tabayyun dalam hal benar atau tidaknya perbuatan tercela itu dilakukan orang yang menjadi sasaran celaannya. Jika pun perbuatan yang membuatkan ia mencela benar-benar dilakukan, maka sering kali mereka juga mencela kerana alasan-alasan yang tidak dibenarkan. Seperti mencela kerana permasalahan yang masih dalam lingkup ijtihadiyyah. Padahal, dalam ilmu jarh wat ta’dil pun, celaan (jarh) tidak boleh dilakukan kerana permasalahan ijtihadiyyah yang diperbolehkan.

Abu Hatim Ar Razy berkata : “Aku menyebut orang-orang yang meminum nabidz (arak dari kurma) dari kalangan ahli hadis Kufah, aku menyebut beberapa diantara mereka kepada Ahmad bin Hanbal.” Beliau berkata, “Ini adalah kesalahan mereka. Akan tetapi tidak gugur keadilan mereka disebabkan kerana kesalahan mereka ini.” (Al Jarh wat Ta’diil: 2/26 dinukil dari al Khabar al Tsabit, hal. 17 Maktabah Syamilah)

Nabidz adalah dianggap arak yang dibuat dari kurma. Jumhur ulama mengatakan bahawa ia hukumnya sama dengan khamr. Tidak demikian dengan orang-orang di Kufah, mereka memiliki ijtihad tersendiri dalam masalah ini, mereka tidak menganggapnya sebagai khamr. Imam Ahmad mengatakan bahawa menjarh (mencela) ahli hadis Kufah kerana mereka minum nabidz tidak dibenarkan, kerana mereka terjerumus dalam kesalahan ini disebabkan ijtihad mereka, bukan kerana hawa nafsu.

Dari kitab “al Qaulu asy Syaadz wa Atsaruhu fil Futyaa.” :

- Sufyan Ats Tsaury berkata : “Jika engkau melihat seseorang mengamalkan suatu amalan yang diperselisihkan, sementara engkau berpendapat yang lain, maka jangan engkau larang ia.” (Hilyatul Auliyaa: 6/368)

- Khatib al Baghdady juga meriwayatkan dari Sufyan bahawa ia berkata : “Apa yang diperselisihkan para ulama fikih maka aku tidak melarang seorang pun dari ikhwanku untuk mengambilnya.” (al Faqiih wal Mutafaqqih: 2/69)

- Yahya bin Sa’id berkata ; “Para mufti terus berfatwa menghalalkan ini dan mengharamkan itu. Yang menghalalkan tidak memandang bahawa yang mengharamkan telah binasa kerana menghalalkannya, dan yang menghalalkan tidak memandang bahawa yang mengharamkan telah binasa kerana mengharamkannya.” (Jaami’ Bayaan al Ilmi wa Fadhlihi: 2/902-903)

- Imam Nawawi berkata : “Kemudian para ulama hanya mengingkari permasalahan yang di ijmakkan, adapun yang diperselisihkan, maka tidak ada pengingkaran.” (Syarh An Nawawi ‘alaa Muslim: 2/23)

- As Suyuthi menyebutkan sebuah kaedah dalam masalah ini dan berkata : “Masalah yang diperselisihkan tidak diingkari, yang diingkari adalah yang di ijmakkan.” (Al Asybaah wa An Nadzaa`ir: 107)

- Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah berkata : “Permasalahan-permasalahan ijtihad, orang yang beramal di dalamnya dengan pendapat sebahagian para ulama, maka tidak diingkari dan tidak di hajr (boikot).” (Majmuu’ al Fatawa: 20/207)

Beliau juga berkata ; “Permasalahan-permasalahan ijtihadiyyah seperti ini tidak diingkari dengan tangan dan tidak boleh bagi seorang pun mengharuskan orang lain untuk mengikutinya dalam masalah tersebut. Ia hanya boleh berbicara dengan secara ilmiah. Bagi yang jelas untuknya benarnya salah satu pendapat, maka ia ikuti. Dan bagi yang taklid kepada pendapat yang lain, maka tidak ada pengingkaran untuknya.” (Majmuu’ al Fatawa: 30/80)


CATATAN : Yang dimaksudkan adalah masalah ijtihadiyyah yang dibolehkan, yang tidak bertentangan dengan ijmak dan dalil yang sharih (jelas penunjukkannya). Masalah ijtihadiyyah juga boleh dibahaskan dan dijelaskan kelemahan salah satu pendapatnya, tanpa mencela orang yang mengambil pendapat tersebut. Jika pun seseorang benar-benar terjatuh pada kesalahan yang nyata, maka perlu juga diingatkan bahawa mencela dan menjatuhkan kehormatan adalah cara paling terakhir dan dilakukan dengan pertimbangan matang atas maslahat yang diharapkan. Jika tidak, tetap dengan cara nasihat yang lembut (hikmah) sebagai pokok atau asal.

Mudah-mudahan Allah menjaga kita semua dari buruknya akhlak, kesesatan dan kelemahan.

Allahua'lam..


-----------------------------
Sumber : Sabilulilmi
Disalin Dan disunting : Al-Faqer, Abu Syeikh al-Ghuraba' PS